Walaupun kerajaan memberi kelonggaran untuk aktiviti kunjung-mengunjung pada musim perayaan ini, ia bagaimanapun terhad kepada hari raya pertama sahaja.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan tetamu bermalam di rumah ahli keluarga yang dikunjungi sebenarnya adalah satu kesalahan kerana melanggar garis panduan serta peraturan yang ditetapkan sebelum ini.

Beliau menegaskan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan amat jelas iaitu kunjungan dibenarkan pada hari raya pertama sahaja.

“Kalau dia tidur di situ, lebih dari 12.01 tengah malam, sudah jadi 25 Mei (hari raya kedua) dan dia nak beraya lagi esok itu.

“Jadi perbuatan itu salah mengikut SOP yang dikeluarkan. Sangat jelas, 24 Mei iaitu hari raya pertama sahaja boleh beraya dengan ahli keluarga terdekat di dalam rumah tersebut.

“Jadi 25 Mei sudah tidak boleh kerana di luar daripada hari raya pertama, sudah jadi hari raya kedua,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Kerajaan sebelum ini membenarkan aktiviti kunjung-mengunjung pada hari raya pertama sahaja membabitkan Aidilfitri, Pesta Kaamatan di Sabah dan Hari Gawai di Sarawak di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kunjungan itu bagaimanapun dihadkan kepada 20 individu sahaja di dalam sesebuah rumah.