SETERUNYA selalu gementar — atau sekurang-kurangnya menunjukkan rasa hormat dengan hati yang berat — apabila mendengar suara garuk lelaki itu yang diberi julukan sebagai 'Harimau Jelutong'. Baik di Parlimen atau di mahkamah, sepertinya apabila setiap kali dia berdehem dan memulakan ucapannya yang keras — seluruh dewan jadi senyap sunyi.

Tetapi wataknya yang lembut dan budiman menjadikan dia ikon wira dan nama yang menjadi sebutan ramai — dialah Karpal Singh.

Karpal — peguam terhormat, ahli politik dan pejuang keadilan dan demokrasi yang tegas dan tidak pernah kenal lelah itu — meninggal dunia pada awal pagi Khamis dalam satu kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk mengendalikan satu kes mahkamah.

Karpal sepatutnya menyambut hari jadi yang ke-74 pada 28 Jun ini.

"Di mahkamah dan di Dewan Rakyat, tidak ada siapa yang berani cari pasal dengannya. Mereka menikus kerana tidak mahu diserang. Tetapi di rumah, sewaktu bersama cucu-cucunya, kita akan melihat sisi dirinya yang penyayang. Apabila anak-anak kecil itu melompat, menumbuk dan menjerit, dia akan cuba meleraikan mereka. Tetapi dia akan hanya tersenyum dan berkata 'tak ada siapa yang mendengar aku di sini'," kata seorang wartawan kanan mahkamah yang menyifatkan Karpal sebagai seorang sahabat.


Karpal Singh kelihatan keluar dari mahkamah bersama isterinya Gurmit Kaur pada 14 Januari 2000 selepas beliau mengaku tidak bersalah atas tuduhan menghasut dan Akta Rahsia. -AFP PHOTO/Jimin LAI


Pada kematiannya, Karpal meninggalkan isteri, Gurmit Kaur dan lima anak mereka — anak perempuan, Sangeet dan anak-anak lelaki, Jagdeep, Gobind, Ramkarpal dan Mankarpal serta anak-anak mereka — cucu-cucunya.

Adalah satu kebetulan yang tragik apabila nahas jalan raya itu bukanlah yang pertama bagi keluarga tersebut. Karpal lumpuh dan terikat pada kerusi roda kerana satu kemalangan pada 2005. Ayahnya, Ram, juga menemui ajal dalam nahas jalan raya di Amritsar, Punjab pada 1974, hampir 40 tahun lalu.

Dalam kemalangan lebih kurang pada pukul 1 pagi itu, anak lelakinya, Ramkarpal cedera manakala pemandu mereka yang berumur 27 tahun terselamat. Amah Indonesianya pula dilaporkan dalam keadaan parah.

Nahas itu bagaimanapun turut meragut nyawa pembantu peguam itu, Michael Cornelius Selvam Vellu, 30, yang sudah lama berkhidmat dengannya

Michael seorang pembantu Karpal yang setia, yang sudah bersamanya selama satu dekad. Dia selalu ada di sisi majikannya itu, menolak kerusi roda Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu serta membantunya dalam urusan harian termasuk menjawab telefon Karpal.


Karpal Singh sewaktu beliau muda.

Setiap kali Karpal terlewat untuk urusan mahkamah, kononnya itu kerana Michael menguruskan fisioterapinya pada pagi hari. Atas sebab itu, Karpal baru-baru ini berpindah ke sebuah rumah yang lebih dekat dengan Parlimen dan mahkamah di Jalan Duta serta hampir juga dengan pejabatnya.

"Karpal menemui Michael di Vellore, Tamil Nadu di selatan India. Tuhan itu agung. Dia mahu Karpal dibantu juga di sana (selepas mati)," kata wartawan yang bersahabat dengan Karpal.

Michael meninggal seorang isteri, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan — semuanya di India.


'Legasi undang-undang dan politik'

Legasi Karpal melampaui 'kontroversi' biasa ahli politik-peguam sepanjang empat dekad kerjayanya. Dia selalu digambarkan sebagai seorang 'patriot' yang tidak hanya meninggalkan bekas kepada dunia perundangan tetapi juga mengubah undang-undang untuk kebaikan.

Ketua Editor FreeMalaysiaToday, K. Kabilan berkata legasi Karpal yang terunggul ialah duluan (precedent) undang-undang yang melata yang beliau bentuk melalui kes-kes yang dikendalikannya.

"Sistem perundangan kita mendapat manfaat yang banyak daripada prinsip undang-undang daripada kes-kesnya, yang dalam banyak keadaan membawa kepada perubahan undang-undang," kata Kabilan yang sejak kecil membaca kisah Karpal dan kemudian mula mendekati peguam itu semasa jadi wartawan mahkamah.

Karpal tahu sangat apa yang dia mahukan sebagai seorang peguam: keadilan untuk semua orang yang dia wakili, katanya.

"Saya lihat sendiri beliau memberi yang terbaik untuk anak guamnya walaupun ada yang menganggap sesetengah kes itu tidak ada peluang. Ada banyak kes tahanan ISA yang beliau menang atas isu teknikal… Dia selalu menang lawan kerajaan dalam hal ini," kata Kabilan.

Karpal merupakan sebahagian daripada banyak kes, sesetengahnya melibatkan politik dan banyak pula untuk 'orang kecil' termasuk "mereka yang ditahan secara salah, mereka yang dipecat daripada perkhidmatan awam kerana alasan yang remeh termasuk seorang anggota tentera yang dituduh sebagai pengintip".

Karpal Singh sedang berucap semasa majlis makan malam DAP di Pulau Pinang pada tahun 1978.


Peguam dan pensyarah, Datuk Baljit Singh berkata kejayaan dan sumbangan Karpal kepada negara ini tidak dapat digambarkan. Beliau menyifatkan Karpal sebagai "ikon undang-undang jenayah" yang "mempunyai hampir 1,000 kes yang dilaporkan dalam jurnal perundangan".

Selain kes liwat Anwar Ibrahim, dua kes yang dikendalikan oleh Karpal jadi kes duluan.

Satu daripadanya ialah kes penting pada 1996 iaitu kes S. Arulpragasan yang merungkaikan permasalahan mengenai beban pembuktian. Melalui kes itu, pihak pendakwa harus membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah sebelum mahkamah boleh mengarahkan tertuduh membela diri.

Keputusan kes Teh Cheng Poh pada 1979 yang diheret sampai ke sidang Majlis Privy di England menetapkan bahawa Perisytiharan Darurat dan keputusan Kabinet yang dimasyhurkan oleh Yang Di-Pertuan Agong boleh disemak oleh mahkamah.


'Menjadi orang yang luar biasa'

Baljit yang sekampung dengan Karpal di Pulau Pinang turut mengenang satu peristiwa semasa dia bersekolah dengan anak-anak Karpal.

"Bas sekolah rosak. Karpal memandu sendiri keretanya bersama anak-anaknya untuk mengambil saya ke sekolah. Apa yang dibuat oleh Harimau Jelutong itu saya ingat sampai sekarang," katanya.
Karpal — yang beliau anggap sebagai pakcik, teman dan mentor — adalah contoh "dedikasi, kerja keras, kejujuran dan keberanian" dan meninggalkan "kasut besar untuk diisi", kata Baljit.

Seorang lagi teman keluarga yang rapat, Ranjit Singh berkata: "Dia seorang yang membela orang biasa dan dia menyuarakan suara mereka, baik di mahkamah atau kepada tokoh besar di parlimen.

Menurut Ranjit, ayahnya biasa menumpangkan Karpal dengan kereta untuk ke mahkamah di Pulau Pinang dan dia selalu mahu jadi seperti Karpal kerana peguam itu orang yang berprinsip.

"Dia peguam perlembagaan dan jenayah yang terbaik di negara ini. Tetapi pada masa sama, kepada mereka yang tidak berduit, saya tahu dia baik dengan mereka," katanya.


'Budiman kepada wartawan'

Daripada pelbagai cerita, Karpal selalu budiman kepada wartawan, selalu sedia meluangkan masa untuk menerangkan kes yang mereka tidak faham malah selalu pula melayan soalan-soalan yang 'bodoh'.

"Saya tidak pernah lihat dia marahkan wartawan walaupun dia menunjukkan kemarahannya semasa berhujah — marah kepada mahkamah, atau kepada saksi atau pendakwa raya atau peguam lawannya.

"Kalau dia marah, dia betul-betul marah. Kata-kata yang keluar dari mulutnya seperti halalintar. Orang jadi takut kalau anginnya tak baik," kata Kabilan. Dia menambah sepanjang berkenalan dengan peguam kanan itu, dia sangat menikmati jenaka-jenaka Karpal.

Kesabaran Karpal itu menyentuh perasaan Penolong Pengarang Berita The Malaysian Insider, V. Anbalagan. Katanya, dia hairan apabila selepas bertahun-tahun bersahabat dengan Karpal, peguam itu tidak pernah meremehkan biar soalan yang paling mudah.


Karpal mengetuai barisan pembelaan bagi kes mata hitam pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim. Karpal bersama (dari kiri) Gobind Singh Deo, Jagdeep Singh Deo, dan Zainul Zakaria ketika meninggalkan ibu pejabat polis persekutuan di Kuala Lumpur pada 22 Februari 1999 -. AFP PHOTO / Leo Chan

"Dia tahu kerjanya sebagai peguam adalah juga untuk membantu wartawan mendapatkan fakta yang betul. Itu penting," katanya, yang kali terakhir bertemu dan berbual dengan Karpal pada petang sebelum nahas itu.

"Saya akan sangat-sangat merinduinya. Dia seorang yang sangat positif. Sebagai seorang ahli politik pembangkang, adakalanya apa yang dia lakukan menyebabkan undang-undang dipinda dan dia boleh datang ke mahkamah untuk mengatakan Parlimen sudah tersilap

"Dia penggubal undang-undang yang sebenarnya. Dia tahu apa yang diharapkan daripada ahli parlimen dan dia tahu apa yang dia lakukan apabila membahaskan rang undang-undang," katanya.

Kerusi pertama Karpal selepas terjun ke dunia politik kerana rusuhan kaum 1969 ialah terpilih sebagai wakil rakyat di Kedah pada 1974. Dia kemudian jadi Ahli Parlimen Jelutaong pada 1978, kerusi yang dipertahankannya sehingga dia kalah pada 1999. Dia kembali ke Parlimen pada 2004 sebagai Ahli Parlimen Bukit Gelugor.

"Dia pernah beritahu saya, tidak kiralah kamu ini wartawan jenis apa, jadilah wartawan yang bertanggungjawab," kata seorang wartawan hiburan.

Seorang wartawan kanan memberitahu, biarpun bekerja kuat dan mempunyai gaya hidup yang penuh disiplin, Karpal sekali sekala akan makan makanan yang agak manis atau berminyak. "Walaupun dia menjaga makanan, dia pernah kata kepada saya: jangan terlalu tegar, sekali sekala kena ikut kata hati."


Pejuang sehingga akhir hayat

Biarpun Karpal tidak menunjukkan belas kasihan kalau dia percaya dia di pihak yang benar, dia bagaimanapun adil kepada lawannya. Semasa dia hendak disabitkan tuduhan dan dijatuhkan hukuman atas dakwaan menghasut berhubung satu kenyataannya mengenai krisis perlembagaan Perak pada 2009, Karpal tidak mengata pendakwanya.

"Peguam dan penyokongnya semua marah dan menghamburkan kata-kata kesat ketika pendakwa raya mendesak supaya Karpal dikenakan hukuman penjara. Saya duduk dekat dengannya dan saya nampak dia menoleh kepada Gobind dan berkata: Kenapa macam ini… biarkan dia buat kerjanya. Jangan ganggu dia," cerita seorang wartawan.

Apabila dijatuhkan hukuman denda RM4,000, Karpal hanya tenang dan berkata dia telah mengharungi perkara yang lebih buruk dan "sebagai ahli politik, kita mesti berani".

Kali pertama dia didakwa dengan tuduhan menghasut ialah pada 2002 dan dia ditahan dia tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1987 semasa Operasi Lalang kerana mencetuskan ketegangan kaum.

Karpal juga seorang lantang biarpun kelantangannya bermakna akan membangkitkan kemarahan rakan politiknya dalam DAP atau Pakatan Rakyat.


Foto: Karpal Singh dalam kenangan


Dia menentang agenda PAS mahu melaksanakan hudud. Dia mengkritik Anwar Ibrahim kerana janji 16 September. Dia mengkritik Ketua Menteri, Lim Guan Eng kerana dikatakan cuba merekrut pemimpin Barisan Nasional selepas berkuasa di Pulau Pinang. Dia juga menyelar Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy supaya tidak jadi seperti "panglima perang".

Di pejabatnya di Pudu, kehilangan tragik itu disambut oleh kakitangan firma guamannya yang setia dengan terus bekerja.

"Dia selalu bekerja tanpa tahu penat lelah. Dia bekerja dan bekerja sampai ke malam. Dia seorang yang kuat bekerja," kata seorang kakitangan yang sudah berkhidmat dua tahun di pejabat itu.

"Dia menerima kes tanpa memilih anak guam; kaya atau miskin, semua dia terima," katanya.


Pejabat Karpal Singh yang kini kosong.


Pejabat Karpal Singh yang dihiasi dengan keratan akhbar dan pelbagai tanda penghargan kepada peguam itu termasuk sekeping poster "Singh is King" kini tinggal kosong.

Dalam beberapa wawancara, Karpal yang meletakkan jawatan sebagai pengerusi DAP kerana kes hasutan baru-baru ini selalu menegaskan bahawa beliau tidak akan pernah bersara.

Wakil rakyat yang balik kawasan ke Bukit Gelugor setiap minggu itu mengatakan bahawa "saat yang paling menyedihkan dalam hidupnya ialah apabila dia mahu berkhidmat kepada pengundinya tetapi tidak lagi mampu.

"Saya pernah bertanya apakah dia akan bersara. Dia hanya tersenyum sinis dan kemudian ketawa. Katanya, itu tidak akan terjadi kerana bersara bermakna berakhirlah riwayatnya," kata seorang wartawan kanan.

Dalam satu wawancara dengan sebuah portal berita, Karpal berkata: "Pada hari saya memikirkan hal itu (tentang persaraan), siaplah, saya mungkin rebah dan itulah penghujung hayat saya."