Pengenalan

Mengisytiharkan dirinya sebagai seorang pelaku homoseksual dan tidak beragama, seorang pelajar Malaysia di Kanada, Hazim Ismail telah dibuang oleh keluarganya dan dibenarkan oleh kerajaan Kanada untuk tinggal di negara berkenaan sebagai seorang pelarian.

Bagi menentukan bahawa seseorang itu adalah pelarian atau tidak, adalah penting untuk melihat terma ‘pelarian’ ini dari sudut undang-undang antarabangsa.


Pelarian

Menurut Konvensyen Geneva Berkaitan Pelarian 1951, pelarian ialah ‘seseorang yang berada luar dari negara kerakyatannya kerana mempunyai sebab-sebab kukuh yang dirinya akan terdedah dengan penindasan berdasarkan kaum atau warna kulit, agama, kerakyatan, keahlian terhadap suatu kumpulan atau pendapat politik, dan oleh itu tidak berupaya untuk mendapatkan perlindungan dari negara asalnya atau, disebabkan ancaman penindasan, tidak berupaya untuk mendapatkan perlindungan dari negara asalnya sendiri’.

Disebabkan itu, terma ‘pelarian’ ini lebih banyak memberikan imej-imej penderitaan rakyat-rakyat di negara-negara yang musnah akibat peperangan seperti di Syria, Iraq dan Afghanistan.
Tidak keterlaluan mengatakan Hazim mungkin tidak layak untuk diterima sebagai seorang ‘pelarian'

Sebagai contoh, majoriti kaum Rohingya di Myanmar sehingga kini dianggap sebagai pendatang haram dan dinafikan hak kerakyatan Myanmar.

Mereka sering berdepan dengan penindasan dan telah, dalam setahun dua ini dijumpai melarikan diri dengan bot-bot yang terdampar di persisiran Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Rakyat Syria kini terpaksa menempuh keganasan berpanjangan dari regim Assad dan berjuta pelarian dari negara tersebut telah cuba melarikan diri ke Eropah dengan harapan untuk membina kehidupan yang lebih baik. Namun, tidak semua yang memiliki tuah dalam usaha ini.

Pada tahun 1994, kaum Tutsi di Rwanda ditindas secara menyeluruh oleh kerajaan pimpinan kaum Hutu yang telah menyaksikan hampir 1 juta rakyat Rwanda dari etnik Tutsi diseksa dan dibunuh berdasarkan klasifikasi kaum mereka. Ini menyebabkan ramai pelarian Tutsi membanjiri sempadan negara-negara jiran, iaitu Burundi, Uganda, Kenya dan Tanzania.

Dalam hal yang sama, Perang Saudara di Sierra Leone yang berakhir pada tahun 2002 telah mengakibatkan 2.5 juta rakyat negara berkenaan hilang tempat tinggal dan terdampar di kem-kem pelarian.

Kejadian-kejadian ini mempunyai dua persamaan – ‘penindasan’ dan 'ketidakupayaan mendapatkan perlindungan di negara mereka sendiri’.


Ada pengajaran daripada krisis pelarian yang sebenar


Malaysia Sebagai Sebuah Negara Aman dan Bertoleransi

Sejak merdeka, Malaysia telah membangun dengan pesat dan kini diiktiraf oleh Indeks Kemanan Global sebagai salah sebuah negara yang paling aman bukan sahaja di rantau Asia Pasifik, malah juga seantero dunia.

Keamanan yang berterusan dan toleransi antara kaum yang agak tinggi mungkin telah menarik minat ramai pelancong dari luar untuk berkunjung ke negara ini. Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia telah dinobatkan sebagai salah satu kota yang paling banyak dikunjungi seperti yang dilaporkan oleh Majalah Forbes tahun lalu.

Perlembagaan Persekutuan mempertahankan hak-hak asasi semua rakyat Malaysia dari sebarang bentuk penindasan.

Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan menyebut dengan jelas bahawa mana-mana rakyat Malaysia tidak boleh ditindas berdasarkan agama, kaum, keturunan, tempat kelahiran atau jantina di bawah mana-mana undang-undang.

Oleh itu, adakah pengamal homoseksual dan pelaku murtad benar-benar didiskriminasi oleh kerajaan Malaysia?

Sekiranya ini benar, apakah undang-undang yang mengatakan sedemikian?


Undang-undang Malaysia

Sebagai sebuah negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam, Malaysia secara umumnya tidak pernah mendiskriminasi atau menindas mana-mana rakyatnya yang homoseksual dan/atau telah murtad.

Walaubagaimanapun, Kanun Keseksaan ada memperuntukkan sesiapa yang melakukan hubungan kelamin di luar tabii (memasukkan zakar di mulut atau di dubur seseorang) telah melakukan suatu kesalahan yang boleh menyebabkan pelaku dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua puluh tahun dan sebatan.

Kanun Keseksaan ini terpakai untuk orang-orang Islam dan bukan Islam.

Rakyat Malaysia yang beragama Islam juga tertakluk kepada peruntukan Akta Jenayah Syariah yang dikuatkuasakan mengikut bidangkuasa kerajaan-kerajaan negeri di dalam Malaysia.

Walaupun setiap negeri ini mempunyai kod syariah mereka tersendiri, peruntukan undang-undang mengenai perkara ini tidak banyak berbeza.

Seksyen 25 Akta Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 menetapkan bahawa mana-mana lelaki yang melakukan kesalahan liwat dengan lelaki yang lain boleh dikenakan hukuman penjara, denda dan/atau sebatan.

Undang-undang Syariah di negeri-negeri di Malaysia rata-ratanya tidak memperincikan dengan jelas bahawa murtad sebagai suatu kesalahan jenayah.

Walaubagaimanapun, pelaku murtad yang telah disabitkan kesalahan akan dipertimbangkan untuk dihantar ke pusat pemulihan akidah seperti yang termaktub dalam Seksyen 66(1) Enakmen Jenayah Syariah Melaka 1991.

Kanun Keseksaan dan Akta Jenayah Syariah (bagi semua negeri) tidak mengatakan bahawa menjadi seorang homoseksual adalah suatu kesalahan.

Seseorang homoseksual itu hanya boleh disabitkan kesalahan sekiranya dirinya didapati melakukan liwat/sodomi atau seks di luar tabii ke atas individu yang lain.

Lagipula, undang-undang Syariah Malaysia tidak mengklasifikasikan murtad sebagai suatu kesalahan jenayah. Berdasarkan fakta ini, patutkah Malaysia dianggap sebagai sebuah negara yang menindas dan mendiskriminasi pengamal homoseksual dan pelaku murtad?


Kesimpulan

Hazim Ismail telah dibenarkan untuk tinggal di Kanada sebagai seorang pelarian kerana khuatir akan keselamatan dirinya jika pulang ke Malaysia.


Keputusan yang dibuat oleh kerajaan Kanada ini agak memeranjatkan dan boleh dianggap seolah-olah merosakkan imej Malaysia sebagai sebuah negara berpenduduk majoriti Muslim yang maju, moden dan progresif.

Memang benar pengamalan homoseksual dan murtad sangat-sangat dipandang serius dan tidak dapat diterima secara menyeluruh oleh rakyat Malaysia yang rata-ratanya beragama Islam.

Walaubagaimanapun, tidak tepat untuk menyimpulkan Malaysia, secara umum, menindas dan mendiskriminasi individu-individu yang mengamalkan cara hidup seperti ini.

Malaysia ialah sebuah negara demokratik yang moden dan tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini, penindasan secara besar-besaran ke atas pengamal homoseksual dan pelaku murtad.

Malaysia mempunyai sebuah kerajaan yang berfungsi dan berupaya memberikan perlindungan kepada semua rakyatnya tanpa mengira batasan kaum, keturunan dan agama.

Melihat dari sudut ini, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Hazim Ismail mungkin tidak layak untuk diterima sebagai seorang ‘pelarian’ di Kanada menurut definisi Konvensyen Geneva Berkaitan Pelarian 1951.

Walaubagaimanapun, kerajaan Kanada berhak untuk membuat keputusan seperti ini dan kita semua harus menghormatinya.

Sekiranya Kanada, sebuah negara anggota Konvensyen Geneva Berkaitan Pelarian 1951 boleh mengambil Hazim Ismail sebagai seorang pelarian, adalah diharapkan kerajaan Kanada juga akan mempertimbangkan untuk menerima pelarian-pelarian yang amat memerlukan bantuan kemanusiaan sebenar terutamanya dari negara-negara yang dibelenggu peperangan.

Semoga Hazim Ismail hidup aman di Kanada dan menjadi seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab di perantauan.


JUGA BACA: Bolehkah Persekutuan Malaysia berpecah?

JUGA BACA: Jerebu Rentas Sempadan: Adakah Malaysia mempunyai pilihan perundangan?

JUGA BACA: Batu Puteh: 4 perkara setiap warga Malaysia perlu tahu


Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph. D) ialah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.