SAYA merenung pada sosok tubuh kurus yang duduk di depan saya.

Hari pertemuan itu pada 20 Ramadan dan Mariam Yusof, balu kepada Kapten Wan Amran Wan Hussin, juruterbang pesawat Malaysia Airlines MH17, sedang mengusik set permainan papan susun suai yang telah dia lengkapkan bersama arwah suami dan dua anak mereka beberapa jam sebelum Wan Amran meninggalkan mereka untuk berangkat ke Belanda pada 15 Julai.

“Kami baru saja bersahur bersama. Kami sedang berehat apabila suami saya mahukan kami menyelesaikan permainan tersebut,” kata Mariam yang masih bersedih, sambil anak bongsunya, Wan Yusuf Irfan memandang ibunya.

“Dia tetap mahukan kami menghabiskannya dengan cepat dan sejurus ia diselesaikan, saya masih ingat dia mengambil pita pelekat untuk ditampal di belakang papan susun suai itu agar ia tidak tercerai.”

Mariam terdiam sejenak sebelum merumuskan kata... “Saya mahu membingkaikan ini... Saya mesti buat cepat,” kata Mariam dengan air mata yang sudah berlinangan.

Beberapa bulan selepas insiden pesawat MH17 ditembak jatuh, itu merupakan antara kenyataan pelik yang tidak mungkin disebut dalam kediaman lain selain kediaman Mariam di Alam Impian, Shah Alam di Selangor – sebuah kejiranan yang hanya dihuni lebih kurang 100 keluarga, dan kesemuanya turut bersedih bersama.

Wan Amran, 50, adalah antara 298 penumpang dan kru yang maut apabila MH17 ditembak jatuh di wilayah yang dikuasai pemberontak di timur Ukraine pada 17 Julay tahun lalu.

Seramai 43 rakyat Malaysia terbunuh dalam tragedi itu, selain warganegara Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.

Bagi kebanyakan keluarga mereka yang telah terkorban, ketidakpastian dan penantian yang memedihkan terus bersulam dalam hidup mereka setahun kemudian.

Menghadam keadaan itu dan menyedari hakikat bahawa dia masih bersama anak-anaknya, setiap detik merupakan suatu kepayahan yang tidak berpenghujung dalam hidup mereka kini, kata Mariam.

“Kehidupan kami hanya diselubungi pilu dan apa kami tempuhi adalah suatu yang tidak terduga. Kami juga bersedih bersama ramai lagi ahli keluarga di seluruh dunia,” katanya.

Apabila ditemui Astro AWANI, Mariam sedang dalam persiapan untuk terbang ke Belanda bersama dua anak serta adik iparnya bagi menghadiri upacara memperingati mangsa tragedi MH17 yang dianjurkan kerajaan Belanda.

Mariam dan 'rombongan' kecilnya telahpun berangkat ke Amsterdam dengan beberapa lagi ahli keluarga mangsa dari Malaysia pada Rabu (15 Julai).

MH17
HIDUP MESTI DITERUSKAN: Mariam dengan penuh kasih sayang memandang anak bongsunya, Wan Yusuf Irfan, yang dia sifatkan paling mirip dengan arwah suaminya. – Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Mimpi aneh

Mendengar Mariam bercakap tentang hidupnya selepas pemergian suami, ibaratnya tenggelam ke dalam gelombang mimpi. Pada awalnya, semua kedengaran seperti biasa namun seketika kemudian, segala perca kenangan itu berselerakan. Kronologi menjadi celaru. Fikiran pun jadi tidak selaras.

Pasangan suami isteri itu banyak membuat perancangan dan berkongsi banyak impian. Wan Amran, yang telah berkhidmat dengan malaysia Airlines selama 25 tahun, pernah berkongsi dengan Mariam tentang impiannya untuk menjalani kehidupan selepas bersara di tempat asalnya Kelantan.

“Kota Bharu,” katanya. “Saya dan suami merancang untuk membina rumah impian kami di sana. Kami juga berkongsi cita-cita untuk membuka kilang bihun selepas dia bersara. Bihun sup merupakan salah satu makanan kegemarannya,” kata Mariam sambil menyeka air mata seraya mengawal suara yang bergetar kerana menahan emosi.

BACA: Keluarga juruterbang ingin jasadnya dikebumikan di Malaysia

Menyifatkan suaminya sebagai seorang yang suka berjenaka dan disayangi seluruh ahli keluarga dan saudara-mara, Mariam memberitahu bahawa Wan Amran merupakan seorang yang ceria namun ada ruang tertentu dalam dirinya yang sepi dan bersederhana.

“Sekarang saya hanya ingat dia dalam kepala. Saya tak boleh menyentuhnya, saya tak boleh rasa kehangatannya. Setiap kali teringat dia, saya akan berulang kali mainkan video percutian kami di Istanbul.

“Sekarang semua berbeza, semangatnya kekal bersama saya.. tapi saya tidak lagi mendengar kepulangannya dari kerja,” katanya.

Mariam yang kalah dengan air mata setiap kali mengenang kebaikan arwah suaminya, berkata bahawa dia ingin sekali memeluk suaminya buat kali terakhir dan membisikkan di telinganya bahawa anak-anak mereka dalam keadaan baik.

Mariam juga ingin sekali memberitahu suaminya bahawa dirinya kini sudah berani untuk memandu sendiri ke stesen minyak bagi mengisi petrol.

“Wan Amran tidak pernah membenarkan saya ke stesen minyak sendirian kerana bimbang akan keselamatan diri saya. Sekarang, saya perlu berdikari untuk menguruskan rumah dan keluarga," ujarnya.

INFOGRAFIK: Fakta ringkas nahas pesawat MH17

Memandangkan dua anaknya masih bersekolah, mariam memberitahu dia banyak menghabiskan waktunya bersama mereka - Wan Yunus Uzair, 11, dan Wan Yusuf Irfan, 9, yang belajar di sekolah agama swasta di Kelang, Selangor.

“Selepas tragedi itu, Wan Yunus kerap menangis saat pulang dari sekolah. Dia kata budak-budak di sekolahnya kerap mengusiknya tentang tragedi yang berlaku. Perasaannya hancur. Mereka dua beradik sering pula demam panas setiap tiga bulan selepas tragedi itu. Saya tahu mereka rindu sangat pada ayah mereka tapi mereka tak beritahu pada saya,” katanya.

Tambah Mariam, dua anaknya itu tidak akan menangis di depannya kerana mereka tahu itu akan membuatkan ibu mereka bertambah sedih.

Walau dalam kepiluan hati, Mariam cuba mengimbas kenangan bersama suami yang boleh membuatkannya rasa tenang. Perkara-perkara yang sangat dirinduinya. Dalam doanya, Mariam memohon agar suaminya diberikan ketenangan dan kebahagiaan yang abadi.

“Sepertinya dia mahu berhubung dengan saya. Dalam salah satu mimpi yang saya alami, suami saya datang dan senyum pada saya. Dia kelihatan tenang, tampan dan tersenyum. Saya rasa seperti dia mahu menyatakan sesuatu,” katanya.

Mimpi-mimpi Mariam tanpa disedari menjadi penawar rindu yang mententeramkan. Dia rasakan seolah-olah suaminya sedang memandang dirinya dan anak-anak dari satu dimensi lain.

“Saya tahu Wan Amran kini di tempat yang lebih baik. Dia lebih bahagia sekarang,” katanya sambil menguntum senyum.

Wan Amran
MEMORI INDAH: Wan Yunus Uzair (kiri), Mariam dan Wan Amran Wan Hussin ketika dalam percutian di Istanbul pada tahun 2013. – Foto ihsan Mariam Yusof


Aidilfitri yang sepi

Oleh kerana jadual penerbangan Wan Amran dahulu sangat tidak menentu, Mariam dan dua anak mereka sudah terbiasa meraikan hari raya tanpanya.

“Dia selalunya bertugas semasa hari raya. Namun, dia selalu akan membuat persiapan raya jauh lebih awal sebelum hari perayaan. Tahun lalu, kami membuat keputusan untuk tidak membeli baju raya untuk anak-anak memandangkan kami membeli pakaian mereka setiap bulan.

“Apabila dia pulang dari kerja untuk bercuti raya, keutamaannya adalah untuk berkunjung ke rumah-rumah saudara yang lebih tua dan akan memberi mereka duit raya. Dia suka membuatkan orang lain gembira,” imbas Mariam.

FOTO: #MengenangMH17: Tenanglah di sana, kapten Wan Amran

Adakalanya, kata Mariam, suaminya akan membuat panggilan jarak jauh dengan menghubungi anak saudaranya di Langkawi, Kedah, semata-mata untuk bertanya khabar.

“Dia merapatkan hubungan antara keluarga dan saudara-mara. Bagaimana untuk kami tidak merindui senda gurau dan sifat istimewanya?” kata Mariam.

Tambahnya, seperkara yang dia pasti amat rindu pada tahun ini adalah untuk bersalam dengan Wan Amran dan meminta ampun.

“Ketiadaannya amat dirasai. Sambutan hari raya kali ini pastinya lain bagi keluarga saya. Saya telah buat sedikit persiapan untuk anak-anak kerana mereka masih muda dan berhak untuk bergembira pada hari yang bermakna.

“Bagi saya, hari raya ini sama saja seperti hari biasa. Saya tidak merasakan apa-apa,” ujarnya.

Wan Amran
AYAH PENYAYANG: Walaupun sibuk dengan jadual penerbangan, Wan Amran Wan Hussin tetap mengutamakan kepentingan dan keperluan keluarga melebihi dirinya. Dalam gambar ini dia bersama anak sulung, Wan Yunus, sebelum berangkat ke satu destinasi tidak lama dahulu. – Foto ihsan Mariam Yusof

Mahu mula bertatih

Menunggu kembalinya jasad orang yang disayangi pun sudah menyeksakan, inikan lagi keluarga yang masih belum menerima jawapan konklusif bagi ribuan pertanyaan tentang nahas tesebut.

Adakah pihak bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan? Siapa yang menembak jatuh pesawat itu? Mengapa ia terbang di ruang udara wilayah yang sedang bergolak dalam peperangan?

Dalam laporan awal daripada Lembaga Keselamatan Belanda, pesawat tersebut telah ‘dihentam’ objek-objek bertenaga tinggi beberapa kali. Ia suatu rumusan yang disifatkan pakar sebagai tembakan peluru berpandu.

“Bagi waris dan ahli keluarga mangsa lain, kami mencari keadilan. Kami mendesak kebenaran disampaikan... walaupun jika ia sensitif dari aspek politik,” tegas Mariam.

Jika bercakap tentang hidup yang sukar bagi Mariam sejak setahun lalu, sepertinya pernyataan itu masih tidak menggambarkan keadaannya. Mariam mengakui bahawa walaupun suaminya meninggalkan sedikit simpanan untuk kegunaan ‘hari perlu’, dia tetap perlu berjaga-jaga dalam soal kewangan.

“Keutamaan simpanan kami adalah untuk kegunaan pendidikan anak-anak saya. Saya mempunyai simpanan, tapi perjalanan masih jauh. Anak-anak saya membesar dengan cepat maka saya perlu bijak menguruskan perbelanjaan,” katanya.

Mariam memberitahu, dia amat bersyukur apabila saudara-mara sering memberikan sokongan kepada keluarganya sepanjang tempoh sukar ini. Terdapat juga pihak lain yang datang menolong dengan pelbagai jenis bantuan. Mariam tahu bahawa suaminya mempunyai ramai kenalan yang sedia membantunya.

“Saya tidak tahu apa masa depan kami. Saya hidup hari demi hari. Sekarang ini, saya bertatih, sedikit demi sedikit dan berharap Allah akan berlaku adil dan mengasihi kami... InsyaAllah,” ujarnya.

Saya mengalihkan pandangan kepada Wan Yusuf yang bermata galak dan berkulit hitam manis – salin tak tumpah dengan arwah bapanya.

“Tak apa, mak saya akan OK. Nanti saya bayar semua kesusahannya bila saya dah besar. Saya nak jadi pilot macam babah...” katanya sambil tersenyum.