Menurut Hishammuddin, ketika menjadi kerajaan, Barisan Nasional (BN) juga tidak terlepas dituduh melakukan perkara yang sama.
“Saya tidak fikir begitu. Kami (BN) juga dituduh macam itu masa kami menjadi kerajaan sebelum ini.
“Akhirnya, institusi kehakiman mesti mempertahankan maruah, kredibiliti dan integriti mahkamah itu sendiri. Itu banyak bergantung bagaimana perjalanan kes ini pada masa akan datang itu penting.
"Ia bukan tentang spekulasi siapa mempengaruhi siapa tetapi proses mahkamah akan menentukan integriti pada masa depan," kata Hishammudin kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen pada Selasa.
Ahli Parlimen Sembrong itu diminta mengulas kenyataan seorang pemimpin UMNO yang mendakwa Najib akan dibebaskan jika tiada sebarang campur tangan Dr Mahathir dalam sistem kehakiman dan perundangan negara.
Sementara itu, Hishammuddin turut mengingatkab bahawa Najib yang juga sepupunya belum dibuktikan bersalah dalam kes tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berpendapat, mana-mana pihak harus menjauhkan diri daripada mengulas kes Najib yang diperintah membela diri terhadap tujuh pertuduhan berkaitan SRC International Sdn Bhd.
Menurut Takiyuddin, perbuatan mengeluarkan pendapat dan ulasan yang dilakukan oleh ahli politik pembangkang dan kerajaan tidak patut berlaku melainkan penggunaan saluran yang betul.
“Bagi saya keputusan mahkamah tidak muktamad, tidak sepatutnya mana-mana pihak yang dilihat ada kepentingan tidak membuat apa-apa komen.
“Sebagai contoh yang dituduh di mahkamah adalah pemimpin pembangkang iaitu bekas Perdana Menteri.
“Apabila mahkamah membuat keputusan memanggil dia bela diri, sepatutnya orang yang ada kepentingan macam pihak kerajaan lebih berhati-hati apabila memberikan sebarang komen,” katanya.
Berikutan kenyataan-kenyataan itu, ramai pihak, kata Takiyuddin, berpandangan terdapat unsur campur tangan dalam urusan mahkamah dalam negara.
Pada Isnin, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri ke atas tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn. Bhd.