Dua beranak yang disyaki terlibat dengan kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang ditemui mati dengan beberapa kesan lebam di badan dan kepalanya di Jalan Ros, di sini pagi semalam dikenakan tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Segamat, Ahmad Shakib Ismail memerintahkan suspek yang juga ibu dan abang mangsa, masing-masing berusia 42 dan 23 tahun ditahan reman sehingga 16 Julai ini.

Penahanan ibu serta abang yang juga merupakan seorang lelaki lembam itu bagi membantu siasatan mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

BACA: Kanak-kanak 2 tahun mati dipercayai didera, polis tahan ibu dan anak

Terdahulu, kedua-dua suspek yang berpakaian lokap jingga dibawa ke mahkamah dengan kenderaaan berasingan sekitar 4.30 petang dengan diiringi anggota polis.

Semalam, kanak-kanak malang itu ditemukan tidak sedarkan diri dengan kesan lebam di badan dan kepala.


Menurut siasatan awal polis, ibu mangsa melihat anak perempuannya itu terbaring dan meminta bantuan jiran berhampiran untuk menghubungi pihak hospital kira-kira 1 pagi semalam.

Namun mangsa dipercayai telah meninggal dunia sebelum sempat diberikan rawatan.

Sejurus itu, kedua-dua suspek tersebut ditahan selepas tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.