Semua pelajar Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menyambung sidang akademik sesi 1/2020 pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tiga berperingkat mulai 20 Julai ini.

ILKBS dalam satu kenyataan berkata peringkat pertama pada 20 Julai 2020 melibatkan 423 pelajar semester akhir Program Elektrikal (Suruhanjaya Tenaga) dan pelajar Program Diploma Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di lapan ILKBS.

Sementara peringkat kedua pada 1 September 2020, melibatkan 609 pelajar semester akhir Program Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 (SKM3) yang sepatutnya menjalani peperiksaan akhir pada April 2020, di 15 ILKBS.

"Pelajar-pelajar ini akan menduduki peperiksaan akhir pada 14 Sept 2020 seterusnya menamatkan pengajian," kata kenyataan itu.

Manakala kemasukan peringkat ketiga pada 28 Sept 2020 melibatkan 6,955 pelajar sambung tahap yang sepatutnya menjalani peperiksaan akhir pada Jun 2020 dan pelajar-pelajar yang telah melengkapkan Latihan Industri (LI) di 22 ILKBS.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi kemasukan pelajar baharu (Sesi Julai 2020) menerusi pendaftaran secara fizikal akan bermula pada 4 Jan 2021.

Bagaimanapun, prapendaftaran bagi pembelajaran secara dalam talian akan bermula dari 15 hingga 25 September 2020 dan pelajar akan mula menjalani pembelajaran secara dalam talian dari 1 Oktober hingga 3 Disember 2020.

-- BERNAMA