"Impian mak untuk meninggal dunia di Mekah termakbul," kata anak ketiga Allahyarham Rusiah Suar, 56, susulan tragedi kren tumbang di Masjidil al-Haram Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Hariyanti Ahmad Badri, 31, berkata, mereka sekeluarga reda dengan kejadian itu kerana ia adalah ketentuan Allah.

"Dia tidak banyak bercakap beberapa hari sebelum berangkat ke Mekah. Kami ingatkan dia fokus hendak pergi menunaikan ibadat haji.

"Dia ada beritahu, emak teringin sangat hendak meninggal di sana (Mekah). Senang semua. Kami cakaplah jangan cakap macam itu emak, kita hendak pergi jauh.

"Sebagai anak saya sedih atas pemergiannya, tetapi kami reda sebab perkara itu memang diidamkan oleh umat Islam," katanya di kediamannya, di Felda Besout 2, di sini, malam tadi.


Hariyanti berkata, berita pemergian ibunya dimaklumkan kepada keluarganya oleh Tabung Haji (TH) yang datang ke rumah pada kira-kira 7.45 malam tadi.

"Pihak Tabung Haji memberitahu menemui mayat ibu di sebuah hospital di Makkah, namun mereka tidak memaklumkan bagaimana insiden itu berlaku," katanya.

Hariyanti berkata dia dimaklumkan TH akan menguruskan proses pengebumian ibunya di Mekah.

Menurutnya, rakan sebilik ibunya memaklumkan bahawa arwah rebah dan pengsan ketika insiden itu berlaku.

"Selepas menerima berita insiden itu, saya meminta suami menelefon kawan ibu saya untuk bertanya keadaan yang berlaku dan dia memberitahu ketika melakukan saei, kren jatuh mak saya terus rebah.

"Ketika itu, kawan-kawan emak hendak tolong tetapi orang di sana tidak benarkan. Selepas itu kawan-kawan emak terus terputus hubungan dengan emak," katanya.

BACA: Saat-saat cemas dirakam jemaah haji

FOTO: Tragedi kren runtuh di Masjid al-Haram, Mekah


Sementara itu, anak keluarga Allahyarham, Nor Haizan, 34, berkata ibunya sangat teruja untuk menunaikan ibadah haji

"Semasa di Tabung Haji Kelana Jaya, emak sempat bergurau dengan kami dan nampak dia teruja. Semasa melakukan persiapan, emak hendak semua barang-barang keperluan baru dan dibeli awal," katanya.

Nor Haizan terkilan kerana pemergian ibunya seminggu sebelum Aidiladha sama seperti Allahyarham ayahnya yang meninggal dunia sehari sebelum Aidiladha pada 2007.

"Saya reda kerana itu sudah ketentuan," katanya sambil menambah solat jenazah ghaib telah dilakukan selepas maghrib hari ini dan majlis tahlil akan dijalankan hari ini.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut mengesahkan selain Allahyarham Rusiah, tiga lagi jemaah haji dari Malaysia disahkan terkorban dalam tragedi kren tumbang di Masjidilharam pada Jumaat.

Mereka ialah Siti Nuroshlizan Zulkifli, 37, dari Tanah Merah, Kelantan; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai, Kelantan; dan Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku, Kelantan.

Turut hilang tiga lagi jemaah Malaysia, dan usaha mencari sedang diteruskan.

Insiden itu mengorbankan sekurang-kurangnya 107 yang lain dan turut mencederakan ratusan yang lain.