Penularan wabak COVID-19 yang bermula sejak kemuncak Tahun Baru Cina awal tahun ini telah menyebabkan kerugian kepada ahli Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) sebanyak RM40 juta serta pembatalan tempahan hotel berjumlah sebanyak 95,972 sehingga 9 Februari yang lalu.

Menurut Presiden MITA, Uzaidi Udanis, isu penularan wabak COVID-19 telah menjejaskan kadar kedatangan pelancong-pelancong antarabangsa terutamanya dari negara China.

Katanya, pelancong dari China menggunakan perbelanjaan yang besar berbanding pelancong dari Eropah atau Australia. Perbelanjaan merekalah yang menyumbang kepada ekonomi negara sekali gus menaikkan industri pelancongan di Malaysia.

“Mereka merupakan individu yang paling banyak berbelanja di dunia. Apabila mereka ke Malaysia, mereka berbelanja sebanyak AS$900 seorang. Jumlah ini sangat tinggi berbanding pelancong dari negara lain,” jelas Uzaidi.

.

Isu penularan wabak dan penyakit bukanlah perkara yang baru bagi penggiat industri pelancongan di Malaysia. Malah wabak Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2003 juga pernah menyebabkan krisis ekonomi namun berjaya ditempuh dengan insentif rangsangan ekonomi sebanyak RM8.1 bilion.

Berdasarkan pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi semalam, bantuan ‘one-off’ sebanyak RM600 akan diberikan kepada Pemandu Bas Persiaran dan Pemandu Pelancong. Perlepasan Cukai Individu sebanyak RM1,000 juga diperuntukkan bagi tujuan perbelanjaan pelancongan domestik.

Kerajaan juga akan menyediakan geran padanan untuk mempromosi sektor pelancongan, di mana jumlah sebanyak RM500 juta akan diperuntukkan.

Pihak MITA menyatakan rasa puas hati apabila jumlah rangsangan ekonomi yang bernilai RM20 bilion ini banyak memberi insentif bagi memperbaiki prestasi sektor pelancongan di Malaysia.

BACA: Acara pameran pelancongan secara talian pertama di Malaysia Mac ini