Tidak terkecuali, industri pengeluaran makanan yang juga sebahagian daripada sektor berkepentingan negara.
Astro AWANI berpeluang menelusuri aspek normal baharu yang diterapkan salah sebuah syarikat pengeluar makanan, Ramly Food Processing Sendirian Berhad.
Meskipun lebih empat dekad bertapak dan menjadi antara makanan kegemaran rakyat Malaysia, namun perubahan perlu dijalankan terutama dari sudut pengoperasiannya.
Berikut tujuh langkah yang diambil bagi pencegahan COVID-19 dalam pengoperasian kilang Ramly:
- Pengurangan kehadiran kakitangan kilang (operasi pengeluaran) sebanyak 50 peratus seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
- Pemantauan suhu para kakitangan dan pelawat, di mana jika suhu pekerja melebihi 37.5 Celsius tidak dibenarkan bekerja dan dihantar terus ke hospital untuk pengesanan COVID-19.
- Pergerakan keluar masuk kontraktor mahupun pelawat ke kilang diketatkan. Hanya individu yang mempunyai kebenaran bertulis dengan syarat dibenarkan diberi masuk.
- Semua kakitangan wajib kerap membasuh tangan dengan sabun dan sanitasi, memakai topeng muka setiap masa serta mengamalkan penjarakan sosial 1 meter termasuk ketika bertugas di dalam kilang.
- Bagi pekerja yang bekerja di rumah, penggiliran dan penjadualan tugas dilaksanakan. Menerusi jadual kerja fleksibel dapat memotivasikan setiap pekerja ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
- Premis kilang dan pejabat disanitasi setiap tiga jam menggunakan penyahkuman. Amalan ini bagi memastikan tiada permukaan mahupun laluan tercemar di sekitar kawasan kerja.
- Latihan dan kesedaran COVID-19 diterapkan kepada setiap pekerja untuk memastikan amalan Normal Baharu dipraktikan. Taklimat harian dan memo pekeliling ditampal di papantanda kakitangan bagi memberi peringatan mengenai SOP ditetapkan.
Langkah yang diambil oleh Ramly Food Processing Sendirian Berhad ini perlu dicontohi semua pihak terutama dalam membantu kerajaan meningkatkan ekonomi pasca COVID-19.