Mahfuz yang ditemui sejurus sebelum berlepas berkata, kunjungan ini merupakan misi kemanusiaan untuk membawa seorang ibu yang sangat rindu untuk berjumpa dengan anaknya.
"Saya sudah pun mendapat kelulusan visa dari kedutaan Australia dan meminta perlindungan keselamatan pihak Australia buat kami.
"Kami berharap pemergian (ke Sydney) ini tidak menjadi satu ancaman bagi mana-mana pihak dan tidak mendapat apa-apa gangguan apabila kami keluar (berlepas) dari Malaysia," ujar Mahfuz yang berlepas dengan pesawat Penerbangan Malaysia kira-kira jam 11:30 tadi.
Mahfuz bersama ibu kepada Sirul Azhar, Piah Samad sejurus sebelum berlepas ke Sydney pada malam Ahad - Astro AWANI / MARIAH AHMAD
Beliau berharap agar semua pihak menghormati misi itu.
"Saya berharap dengan membawa ibu Sirul ini, dapatlah ibunya mengesahkan dengan siapa saya berhubung hari itu," jelas Mahfuz kepada media di Balai Pelepasan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini pada malam Ahad.
Apabila ditanya jika Mahfuz ada membawa apa-apa untuk Sirul, beliau berkata hanya kasut sukan sahaja kerana ia diminta Sirul.
Mahfuz turut memaklumkan beliau akan berkomunikasi dengan media melalui aplikasi WhatsApp tentang perjalanan mereka ke pusat tahanan untuk bertemu dengan Sirul.
"Saya difahamkan kami tidak boleh membawa masuk kamera di dalam pusat tahanan. Kami hanya boleh bergambar di luar pusat. Doakan keselamatan kami semua.
"Saya menggunakan tagline 'See for Yourself' untuk misi ini kerana saya sendiri akan melihat Sirul," tambah Mahfuz.
Mahfuz yang bertolak bersama ibu Sirul, Piah Samad, 72 dan adik perempuan Sirul, Noriatin Umar, 37, dan empat orang yang lain dijangka tiba di Sydney kira-kira jam 10:30 waktu tempatan (kira-kira pukul 1.30 petang Isnin waktu Malaysia)
Mereka dijangka akan pulang ke Malaysia pada 7 Mac nanti.
Sirul, 43, yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati setelah didapati bersalah membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu kini berada di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan di Sydney, Australia selepas ditangkap di Queensland pada 20 Januari berikutan amaran merah dikeluarkan Polis Antarabangsa, Interpol.