Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa semua pihak bersabar dan menyerahkan siasatan isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Pasukan Petugas Khas yang telah ditubuhkan.

Beliau yang juga Presiden MCA, menjelaskan kerajaan sentiasa bersikap telus dan akan melakukan yang terbaik berhubung isu berkenaan.

"Kerajaan sedang melakukan yang terbaik dan kami yakin siasatan itu akan didedahkan sendiri secara umum kepada rakyat," katanya semasa sidang media di Wisma MCA di sini.

Menurutnya lagi, semua pihak berhak memberikan pandangan mengenai isu berkenaan, namun kerajaan bertanggungjawab memastikan siasatan terus dilakukan demi kepentingan rakyat.

Ditanya desakan sesetengah pihak agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan harta, beliau berkata: "Semua menteri Kabinet telah mengisytiharkan harta kepada kerajaan. Pasukan Petugas Khas telah ditubuhkan untuk menyiasat perkara itu. Jadi, berikan mereka masa untuk menyiasat."

Tegas Liow, mana-mana pihak termasuk media tidak sepatutnya membuat sebarang spekulasi sebelum siasatan selesai.

"Adalah sangat penting untuk kita menyerahkan semua perkara berkenaan isu 1MDB kepada Pasukan Petugas Khas kerana jika ada sesuatu tuduhan, ia memerlukan kajian oleh pihak yang telus dalam melakukan siasatan," tambahnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu rombakan Kabinet, Liow berkata kerajaan akan mengkaji setiap isu yang dibangkitkan secara mendalam sebelum membuat sebarang keputusan.