Polis akan memanggil pemilik banglo Pang Li Koon yang hartanahnya dibeli Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, untuk membantu siasatan berhubung penjualan aset berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya juga akan memanggil Guan Eng bagi melengkapkan siasatan termasuk kesemua saksi berkaitan.

"Memang ada kita telah buka kertas siasatan atas pengesahan palsu terhadap Pang Li Koon, laporan polis telah dibuat dan kita akan adakan siasatan.

"Kita akan panggil semua saksi-saksi yang terlibat termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai saksi untuk kes ini," katanya semasa sidang media selepas majlis Sambutan Hari Polis ke-209 yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pulapol di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata polis akan memanggil kedua-dua mereka pada bila-bila masa.

Rabu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima sebanyak lapan aduan daripada pelbagai pihak berhubung isu pembelian banglo Guan Eng.

Perkara itu diberitahu oleh Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki yang memaklumkan bahawa siasatan terhadap aduan berkenaan akan dijalankan secara menyeluruh.

Malah SPRM telah memanggil beberapa saksi serta mengambil dokumen berkaitan.

Sebelum ini Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan itu berkata beliau sedia memberikan kerjasama kepada SPRM bagi menyegerakan siasatan ke atasnya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang (DPPNPP), Afnan Hamimi Taib Azamudden meminta Guan Eng bercuti daripada menjalankan tugas sebagai ketua menteri sehingga SPRM selesai menjalankan siasatan berhubung isu pembelian rumah bernilai RM2.8 juta itu.

Tegasnya, tindakan bercuti itu perlu bagi memastikan ketelusan dan kelancaran proses siasatan pihak berkuasa.

Pada 19 Mac lalu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya juga meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta untuk membuat penilaian berhubung hartanah berharga RM2.8 juta yang dibeli oleh Guan Eng di Jalan Pinhorn, sedangkan nilai semasa rumah tersebut dikatakan lebih RM6 juta.