Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia pada Rabu menafikan pihaknya menahan 16 Orang Asli di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Gua Musang di Kelantan, seperti yang disebarkan media sosial.

Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam jabatan itu Mohd Yussainy Md Yusop berkata anggota Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan sebenarnya hanya mengambil maklumat individu di kawasan HSK kerana tiada kesalahan yang dilakukan mereka.

"Berhubung isu sekatan jalan masuk di HSK Gua Musang baru-baru ini yang melibatkan Masyarakat Orang Asli, jabatan ingin menjelaskan bahawa pada 23 Jan 2017, sebanyak 14 sekatan jalan telah dirobohkan.

"Berikutan itu, lima Orang Asli telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 81(1)(g) Akta Perhutanan Negara iaitu kesalahan menceroboh HSK," katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Yussainy berkata, pada Selasa, pihaknya menahan seorang wartawan dan seorang jurukamera agensi berita asing kerana disyaki menceroboh HSK.

Beliau berkata penahanan itu dibuat bagi menjalankan siasatan kerana kesalahan memasuki HSK tanpa kebenaran mengikut Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

"Kertas siasatan telah dibuka bagi kes tersebut dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik sahaja prosedur siasatan selesai bagi menentukan sama ada kes ini boleh didakwa atau tidak," katanya.

Mohd Yussainy berkata siasatan yang dibuat mendapati wartawan berkenaan mempunyai Pas Media Jabatan Penerangan yang tempohnya tamat pada 2013 dan tidak diperbaharui.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan laporan yang disebarkan media sosial hari ini adalah tidak benar dan berdasarkan sumber tidak sahih.

-- BERNAMA