KALANGAN negara-negara Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara atau dalam bahasa Inggerisnya lebih dikenali sebagai Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) tidak boleh lepas tangan dan mengharapkan Malaysia sepenuhnya untuk melakukan segala tugas menyelamat ke atas etnik Rohingya ini. Semua negara ASEAN harus mengambil serius di atas isu etnik Rohingya ini serta bekerjasama membantu menghulurkan bantuan kepada etnik Rohingya berkenaan. Sampai bilakah Malaysia boleh menghulurkan bantuan sepenuhnya terhadap etnik Rohingya ini? Malaysia bukanlah sebuah negara yang kaya raya yang mampu menghulurkan segala jenis bantuan terhadap semua pihak yang memerlukan bantuan dalam dunia ini. Segala jenis bantuan yang diberikan oleh Malaysia mempunyai hadnya sendiri berdasarkan kemampuan semasa. Oleh yang demikian, adalah tidak wajar mengharapkan Malaysia sepenuhnya bagi membantu etnik Rohingya.

BACA: Podcast Realiti Rakyat: Apa nasib pelarian etnik Rohingya di Malaysia ketika PKP?

BACA: COVID-19: Pelarian Rohingya dikuarantin dalam bangsal di Bangladesh

Pada masa yang sama, sudah sampai masanya juga pertubuhan ASEAN ini diperkuatkan lagi khususnya bagi melindungi hak asasi manusia di kalangan negara-negara anggota yang dilihat kian terhakis dengan krisis kemanusiaan terhadap penduduk etnik Rohingya di Myanmar yang tidak ada kesudahannya. Isu kemanusiaan yang melibatkan penduduk etnik Rohingya menjadi semakin buruk dengan pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh media massa mengenai segala bentuk kezaliman dan penindasan yang mereka terima daripada kerajaan mereka sendiri yang tidak mengiktiraf kewujudan mereka di negara Myanmar walaupun etnik berkenaan telah lama menetap di negara berkenaan ratusan tahun lamanya. Akibat daripada isu kemanusiaan yang menimpa etnik Rohingya ini, mereka terpaksa melarikan diri dari negara mereka sendiri bagi mendapatkan perlindungan keselamatan ke negara-negara serantau termasuklah Malaysia. Isu ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan proaktif diambil oleh semua negara dunia khususnya di kalangan negara ASEAN yang merupakan jiran terdekat dengan Myanmar.

BACA: TUDM patahkan cubaan 200 Rohingya masuk perairan negara

BACA: COVID-19: Patutkah Malaysia terus menerima pendatang Rohingya?

ASEAN sebagai sebuah pertubuhan yang mewakili negara-negara Asia Tenggara perlu memainkan peranan yang lebih aktif dan proaktif bagi melindungi hak asasi manusia penduduknya yang melebihi 625 juta secara keseluruhannya. 10 negara-negara Asia Tenggara yang menjadi anggota tetap pertubuhan ASEAN tidak boleh menuding jari terhadap pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang lain seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC) kerana gagal melindungi penduduk etnik Rohingya di Myanmar kerana kumpulan etnik berkenaan berada dalam kawasan serantau negara ASEAN sendiri dan yang sepatutnya memainkan peranan utama dalam melindungi penduduk etnik berkenaan adalah pertubuhan ASEAN sendiri. Pada tahun 2007 yang lalu, negara-negara anggota ASEAN telah menandatangani Piagam ASEAN yang di antaranya termaktub prinsip untuk mempertahankan hak asasi manusia di kalangan negara-negara anggota. Segala prinsip yang telah dipersetujui melalui Piagam ASEAN berkenaan perlu dizahirkan melalui perbuatan bukan setakat melalui janji atau kata-kata manis sahaja. Mengikut rekod pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa, krisis kemanusiaan yang melibatkan penduduk etnik Rohingya telah berlaku buat sekian lama. Ini jelas menunjukkan ASEAN sebagai sebuah pertubuhan serantau masih gagal untuk berfungsi dengan baik serta berperanan sebagai sebuah pertubuhan yang boleh melindungi penduduknya khususnya yang berkaitan dengan aspek hak asasi manusia.

BACA: Rohingya: Apabila meminta hak menjadi manusia bertukar kepada sentimen kebencian

BACA: PBB digesa tegas tangani isu pelarian Rohingya

Pertubuhan ASEAN juga mempunyai suruhanjaya hak asasi manusianya sendiri iaitu Suruhanjaya Antara Kerajaan Aseab Mengenai Hak Asasi Manusia atau dalam bahasa Inggerisnya lebih dikenali sebagai ASEAN Intergovernmental Commission on Human Rights (AICHR) yang telah ditubuhkan semenjak tahun 2009 yang lalu khusus bagi mempromosikan serta mempertahankan isu yang berkaitan dengan hak asasi manusia di kalangan negara serantau ASEAN. Namun penubuhannya sering dipertikaikan oleh ramai pihak kerana ia tidak mempunyai kekuatan sebenar (toothless) khusus bagi menjalankan segala tugas yang berkaitan dengan objektif penubuhannya. Oleh yang demikian, sudah sampai masanya pertubuhan ASEAN kuhususnya AICHR melihat kembali segala fungsi dan peranan mereka serta mengubal piagam dan perjanjian sedia ada bagi meningkatkan keupayaan pertubuhan terbabit bagi melindungi serta mempertahankan prinsip hak asasi manusia di kalangan warga negara-negara Asia Tenggara.


* Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.