Jawatankuasa khas bagi mengkaji isu pengambilan dan ganti semula tanah rizab Melayu seluruh negara yang boleh membantu melindungi orang Melayu harus disokong, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Ketika ditemu bual Astro AWANI, Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata perancangan menubuhkan jawatankuasa tersebut adalah niat yang murni.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata beliau menyokong penubuhan jawatankuasa tersebut.


Tambahnya, beliau sedia membantu jawatankuasa tersebut jika mereka mahu membangunkan tanah rizab yang ada sebagai satu tarikan pelancongan.

"Mana-mana usaha yang nak dilakukan kalau tujuannya adalah murni untuk membantu orang-orang Melayu dalam hal pengurusan tanah rizab Melayu saya akan sokong.

"Umumnya kita tahu orang Melayu ini kadang-kadang tidak mendapat pengetahuan yang betul dan terdorong untuk mengambil tindakan yang merugikan diri sendiri. Jadi saya sokong inisiatif ini, tiada sebab saya tidak sokong.

"Kalau memang perlu jawatankuasa ni, buatlah, saya akan bantu apa yang perlu. Perkara ini mudah sahaja sebenarnya. Tujuannya murni jadi kita bantu la dan kalau kementerian saya boleh bantu melalui perlancongan contohnya, maka saya akan bantu.

"Perkara ini tidak boleh datang dari UMNO sahaja tapi kena dari masyarakat. Saya tak mahu perkara ini jadi dengan pendekatan atas ke bawah sebab ia mesti dijalankan oleh masyarakat sendiri. UMNO boleh menyambut dan bekerjasama dengan semua pihak yang perlu," katanya.

Nazri mengulas gesaan pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), yang menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas tersebut.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata kajian menyeluruh harus dilakukan memandangkan tiada statistik rasmi dibuat berhubung isu berkenaan.