Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang menimbang untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Bagi Memerangi Berita Tidak Benar, ujar Menterinya, Gobind Singh Deo.

Beliau menjangkakan jawatankuasa berkenaan akan dapat ditubuhkan semasa sesi persidangan parlimen Oktober depan selepas dibincangkan di peringkat Kabinet.

“Saya harap ia akan dapat dibawa (kabinet) nanti atau mungkin apa yang boleh saya katakan kita sedang kaji untuk menubuhkannya pada sesi parlimen kali ini. Saya harap ia boleh dilaksanakan jika cadangan ini diterima. Kita lihat nanti apa akan berlaku,” katanya kepada media selepas Dialog bertajuk “Ke Arah Kebebasan Media dan Memerangi Berita Tidak Benar di Universiti Sunway di sini pada Khamis.

Perkara itu adalah antara pelbagai cadangan yang dikemukakan banyak pihak berkaitan dalam perbincangan diadakan.

Bagaimanapun, ia masih di peringkat cadangan dan kementerian masih mengadakan perbincangan mengenainya.

“Ketika ini ia hanya cadangan yang diberikan kepada saya. Saya sedang menelitinya. Seperti yang saya katakan, banyak cadangan yang diberikan dalam perbincangan yang saya hadiri dalam usaha mencari penyelesaian kepada isu salah guna media sosial,” kata beliau lagi.

Justeru katanya, kementerian masih membuka ruang kepada mana-mana pihak berkepentingan untuk mengemukakan cadangan penambahbaikan ke arah memerangi berita tidak benar.

“Saya mendapatkan banyak pandangan dan antaranya cadangan penubuhan jawatankuasa pilihan ini. Untuk itu kita akan mendapat banyak pandangan dari semua pihak seluruh Malaysia dan juga akhirnya pandangan dari pihak media sendiri. Jadi saya sedang menimbang perkara itu sekarang,” ujarnya.