Tatacara berpakaian itu telah dimuat naik di akaun Twitter rasmi JPJ berserta gambar contoh pakaian bagi lelaki dan wanita.
Langkah JPJ membuat hebahan melalui media sosial itu dipercayai berikutan kekecohan insiden seorang wanita yang mendakwa dipaksa menyarungkan kain batik sebelum dibenar menjalani urusan rasmi dengan JPJ cawangan Wangsa Maju.
Antara yang dipaparkan dalam panduan tatacara berpakaian itu adalah lelaki dan wanita yang mahu berurusan di pejabat JPJ perlu berpakaian kemas, bersih dan sesuai dengan amalan masyarakat Malaysia.
Menurut panduan tersebut: “Pelawat dilarang daripada berpakaian tidak sopan dan yang terlalu mendedahkan tubuh atau menjolok mata seperti memakai skirt atas paras lutut atau berseluar pendek, berbaju tanpa lengan, memakai seluar atau skirt ketat atau berselipar”.
Tatacara berpakaian sedemikian sudah sekian lama dikenakan ke atas semua pihak yang mahu berurusan dengan jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan.
Dalam kes wanita yang dikenali sebagai Suzanne G. L. Tan itu, dia menyatakan rasa tidak puas hati menerusi laman Facebook lantas mendapat perhatian luas para netizen.
Menurut status yang dimuat naik tersebut, Suzanne mengunjungi pejabat JPJ di Wangsa Maju bagi uruskan perpindahan hak milik kenderaan yang dijualnya.
Walau bagaimanapun, dia didekati pegawai JPJ yang bertugas di kaunter nombor. Pegawai berkenaan menyatakan bahawa pakaian yang dikenakannya tidak bersesuaian untuk sebarang urusan formal di JPJ.
Difahamkan, kod kesalahan tatacara berpakaian yang telah dilanggar wanita tersebut ialah dia memakai skirt di atas paras lutut.
Suzanne mengenakan baju berwarna merah jambu dan putih bersama skirt merah di atas paras lutut semasa hadir berurusan di pejabat JPJ. - Sumber foto Facebook Suzanne G. L. Tan.
Dalam perkembangan berkaitan, JPJ hari ini memohon maaf di atas insiden tersebut dan kepada Suzanne atas kesulitan dihadapinya.
Menurut kenyataan itu, JPJ juga menyatakan bahawa mereka tiada mempunyai peraturan khusus seperti memberikan kain batik kepada pelanggan yang tidak berpakaian formal bagi berurusan di jabatan itu kerana ia akan menimbulkan ketidakselesaan kepada orang ramai.
BACA: JPJ mohon maaf atas insiden kain batik