Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus berkurangan kepada 8,134 orang pada 8 pagi ini berbanding 9,002 mangsa malam tadi.

Kesemua mangsa membabitkan 3,237 keluarga itu ditempatkan di 28 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga jajahan iaitu Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh.

Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas masih merekodkan jumlah tertinggi dengan 4,804 mangsa daripada 2,040 keluarga yang ditempatkan di 19 PPS, diikuti Tumpat dengan 3,306 mangsa (1,192 keluarga) di lapan PPS dan 24 mangsa (lima keluarga) di sebuah PPS di Pasir Puteh.

Portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang menurun kepada 9.94 meter pada 8 pagi ini berbanding 10.14 meter pada 7 malam tadi. Paras bahaya sembilan meter.

Paras air Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat juga menurun kepada 3.34 meter berbanding 3.41 meter dalam tempoh sama. Paras bahaya 2.5 meter.

Sementara itu, portal eBanjir Kelantan, ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan dan cuaca pagi ini adalah cerah.

-- BERNAMA