Langkah yang diambil ini dilihat dapat mengurangkan sedikit beban pekerja dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi pada masa kini.
Namun, langkah menaikkan kadar gaji minimum ini tidak seharusnya bertumpu kepada pekerja yang berada di kawasan bandar-bandar utama sahaja.
Kadar baharu gaji minimum ini harus dilaksanakan juga kepada pekerja yang berada di semua kawasan bandar dalam negara kita.
Ini adalah kerana amat sukar untuk kita mengenal pasti status bandar itu sendiri kerana pembangunan pantas yang berlaku di dalam setiap kawasan bandar dalam negara kita.
Dengan keadaan ekonomi dalam negara yang tidak menentu serta persekitaran ekonomi global yang kurang stabil, masalah kos sara hidup dialami oleh semua para pekerja di kawasan bandar.
Oleh yang demikian, adalah penting untuk pihak kerajaan memberi pertimbangan untuk melaksanakan kadar baharu gaji minimum ini kepada semua pekerja yang berada di kawasan bandar tanpa mengira status bandar itu sendiri.
Dalam menentukan kadar gaji minimum ini, pihak kerajaan perlu mengutamakan faktor kos sara hidup yang dihadapi oleh para pekerja tanpa mengira sektor pekerjaan mereka.
Isu kos sara hidup adalah isu penting bagi setiap pekerja terutamanya pekerja yang bekerja dikawasan bandar kerana kos sara hidup di kawasan bandar selalunya adalah tinggi jika dibandingkan dengan kos sara hidup di kawasan luar bandar.
Setiap gaji ataupun upah yang ingin diberikan kepada pihak pekerja perlulah mengambilkira keadaan kos sara hidup yang terpaksa dilalui pada masa kini.
Pemberian gaji atau upah yang tidak setimpal atau bersesuaian dangan kos sara hidup sekeliling pada masa kini akan menyebabkan seseorang pekerja itu serta keluarga yang ditanggung mereka hidup dalam kesusahan.
Oleh yang demikian, adalah penting supaya faktor kos sara hidup ini diberi keutamaan dalam sebarang proses kajian yang ingin dilakukan terhadap kadar gaji minimum dalam negara kita.
Pada masa yang sama juga, pihak kerajaan harus memastikan sebarang penetapan kadar gaji minimum yang baru memberi manfaat khusus kepada pekerja tempatan dan bukannya pekerja asing yang dilihat masih banyak mendominasi sektor pekerjaan bergaji rendah dalam negara kita.
Perintah Gaji Minimum 2012 yang mula berkuatkuasa pada Januari 2013 telah menetapkan kadar gaji minimum sebanyak RM900 (atau RM4.33 sejam) di Semenanjung dan RM800 (atau RM3.85 sejam) di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan setelah diumumkan Perdana Menteri ketika itu pada Mei 2012.
Kajian semula kadar gaji minimum ini telah dilakukan selaras dengan peruntukkan undang-undang dan mulai 1 Julai 2016 ia ditetapkan pada RM1,000 sebulan (atau RM4.81 sejam) bagi Semenanjung manakala kadar RM920 sebulan (atau RM4.42 sejam) ditetapkan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Pada proses pembentangan Bajet 2019 yang lalu pihak kerajaan telah bersetuju untuk menyelaraskan kadar gaji minimum diseluruh negara pada kadar RM1,100.
Penetapan kadar gaji baru sebanyak RM1,100 diseluruh negara yang baru dikuatkuasakan pada awal tahun 2019 ini selaras dengan kehendak Seksyen 25 (1) Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] yang menetapkan kadar gaji minimum dalam negara kita dikaji sekurang – kurangnya sekali dalam tiap – tiap dua tahun.
Pihak kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan semua pihak yang berkaitan sebelum mengambil sebarang langkah akhir terhadap penetapan kadar gaji minimum ini terutamanya pandangan orang ramai, serta badan-badan yang yang berkaitan yang mewakili pihak pekerja dan majikan seperti pihak Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) dan pihak Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
Perkara ini adalah selaras dengan Seksyen 4 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732].
Bagi mengatasi masalah kos sara hidup pada masa kini, pihak kerajaan juga disaran untuk memperkenalkan beberapa bentuk elaun baru khusus kepada pekerja tempatan yang menerima gaji minimum ini bagi membantu serta mengurangkan masalah kos sara hidup yang terpaksa dilalui oleh pekerja selain daripada menaikkan kadar gaji minimum pekerja dalam negara kita.
* Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.