Gaya pemakaiannya sederhana - mengenakan baju putih longgar dan seluar sendat hitam serta kasut flats putih. Tangannya kemas membimbit beg tangan merah jenama tempatan yang sedikit mengembung dan kelihatan hujung kabel mengecas telefon bimbit terkeluar sedikit.
Mungkin wanita muda itu agak tergesa-gesa untuk melunaskan janji temu dengan Astro AWANI, yang memintanya berkongsi cerita tentang jerih payah kelangsungan hidup di kota besar Kuala Lumpur.
“Maaf sangat buat kalian tunggu lama, lambat pula penggambaran selesai di lokasi,” ujarnya sambil membetulkan rambutnya yang melempai hingga sedikit mengganggu penglihatannya.
MESTI BACA: "Itukah cara menteri layan rungutan rakyat?"
MESTI BACA: Idea bangun awal elak tol: Netizen saran diskaun sebelum jam 6 pagi
Anissa selesa dipanggil Nisa, memaklumkan dia baru sahaja selesai penggambaran iklan di satu lokasi. Dia merupakan penolong produksi untuk penggambaran tersebut.
Ia merupakan salah satu kerja sampingan yang dilakukan Nisa selain daripada kerja utamanya sebagai penyelia kewangan dan pengurusan di sebuah syarikat produksi televisyen dan filem tanah air.
“Dengan syarikat itupun saya sekadar bekerja secara kontrak, jadi gaji tidaklah berapa besar. Kenalah buat kerja-kerja sambilan lain untuk tambah pendapatan,” kata pemegang ijazah sarjana muda itu.
Kerja-kerja dalam produksi televisyen dan filem sememangnya memerlukan bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi yang pelbagai, dan pastinya ia melibatkan kos yang besar.
MESTI TONTON: [VIDEO] Bangun awal elak bayar tol?
Paling kurang, Nisa akan berbelanja sekitar RM2.20 untuk tol pada hari yang tidak melibatkan sesi penggambaran. Dia lazimnya menggunakan Lebuhraya Persekutuan untuk berulang-alik antara rumahnya di Seksyen 17 Shah Alam dan ke pejabat Playground Productions di USJ 7 Subang Jaya.
“Tapi kalau hari sibuk, perbelanjaan untuk perjalanan dalam satu hari itu saja sekurang-kurangnya RM50. Minyak RM30, dan saya kena peruntukkan RM20 ringgit untuk tol sahaja. Belum masuk makan minum.
“Yalah, shooting di merata tempat dan menjadi penolong produksi memang berat tugasnya. Ada kalanya kena ambil talent, runner props, mesyuarat dengan pelanggan.
Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dan Lebuhraya Penchala menjadi laluan yang kerap digunakan.
MESTI BACA: Kadar tol naik. Lihat perbandingan harga lama dan baharu, beserta peratusan
Dia mengakui kenaikan kadar tol baru-baru ini agak membebankan kerana kebanyakan perbelanjaan demi memenuhi tuntutan kerjanya terpaksa menggunakan duit poketnya sendiri.
“Memang boleh claim, tapi leceh. Ada kalanya dapat penuh, ada kalanya lambat. Kadang-kadang tak dapat langsung,” ceritanya.
Cukup-cukup
Secara kasar, Nisa mampu meraih pendapatan sekitar RM2,500 gabungan gaji pokok bulanan dan kerja-kerja sambilannya. Bagaimanapun, dia merasakan jumlah itu cukup-cukup untuk sekadar memenuhi keperluan hidup di kota.
Nisa kini menyewa di sebuah apartmen di Seksyen 17, Shah Alam. Sewa bulanannya RM300. Selain itu dia juga ada komitmen lain seperti bayaran pinjaman bank untuk pelaburan Amanah Saham Berhad (ASB) dan sedikit wang untuk ibu bapanya.
MESTI BACA: Membebankan! Itu keluhan warga kota hari pertama pelaksanaan kadar tol baharu
Seperti gadis 24 tahun yang lain, dia juga ingin menikmati wang pendapatannya dengan melancong, membeli pakaian baru dan berhibur. Disebabkan pendapatannya yang sederhana, dia perlu merancang dengan teliti perbelanjaan bulanannya bagi memastikan keinginannya tercapai.
“Selepas semua komitmen bulanan selesai dibayar, tolak duit makan minum, selebihnya saya simpan. Duit itulah saya gunakan untuk beli baju, jalan-jalan dan pergi karaoke dengan kawan-kawan.
“Tapi memandangkan tol dah naik harga dan ditambah kenaikan harga barang-barang lain, saya terpaksa potong daripada peruntukan simpanan bulanan untuk tampung semua itu. Mahu tak mahu, terpaksalah berkorban,” ujarnya.
MESTI BACA: Kesan kenaikan tambang tol dirasai pada angka inflasi November
Dalam pada terselit nada keluhan akibat kos sara hidup yang meningkat di ibu negara, wanita muda seperti Nisa hanya bergantung pada semangat dan minat bagi meneruskan rentak serta tuntutan kerjaya yang dipilihnya.
INFOGRAFIK: Kadar tol lebuhraya naik mulai 15 Oktober
Ini hanya 'cerita kecil' daripada individu yang cuba memastikan hasil pengorbanannya berbalas nikmat sekali gus menyalakan harapan untuk terus menjalani kehidupan.
Bagaimanakah pula cerita anda?