Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan berkata, kenyataan Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda merupakan kaedah penyelesaian biasa, tidak menarik dan tidak mengejutkan langsung oleh sesuatu syarikat yang tenat.
"Apa pilihan mereka ada pada waktu ini selain membuat kenyataan seperti ini?
"Apakah dengan kajian strategik syarikat 1MDB ini bakal membuktikan segala bebanan hutang harus diselesaikan secara menjual atau mencari rakan strategik baru ke arah membantu 1MDB menanggung segala kos pembangunan yang sedang membebankan mereka ke atas segala aset-aset yang dimiliki mereka kini?
"Pelajar tingkatan enam pun berkemungkinan tahu untuk mengadaptasikan jalan penyelesaian sebegini rupa," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini, hari ini.
Khairuddin mengulas pengumuman Arul pada Rabu mengenai hasil kajian strategik perniagaannya yang bermula Januari bagi membolehkan syarikat memaksimumkan nilai untuk Kementerian Kewangan dan terutama kepada rakyat Malaysia.
Kata Arul, dalam mengendalikan kajian strategik, 1MDB menyedari misi dan visinya: untuk menjadi pemangkin strategik bagi idea dan sumber pertumbuhan baharu, dan untuk memacu pertumbuhan ekonomi mampan di Malaysia.
Tambah Arul, pencapaian itu termasuk penggabungan aset tenaga berasingannya di bawah Edra Energy dengan kumpulan dan lembaga pengurusan bersama; mewujudkan platform untuk membangunkan Bursa Tun Razak (TRX) sebagai pusat kewangan; dan kejayaan membentuk pelan induk pembangunan Bandar Malaysia.
Kata Khairuddin, apa pun kenyataan Arul, ia dilihat untuk mengelabui serta menjawab persoalan rakyat selama ini.
"Arul masih gagal menjawab persoalan asas yang rakyat ingin tahu, apa sudah jadi dengan jumlah keseluruhan wang yang ditebus oleh 1MDB seperti kenyataannya 13 Januari lepas? Di manakah wang-wang tersebut berada kini?
"Arul juga menyatakan dia telah meneliti semua dokumen syarikat dan menafikan tiada kaitan langsung antara ahli perniagaan, Low Taek Jho dengan 1MDB tetapi saya sendiri mempunyai hitam putih kaitan mereka dengan transaksi pembidaan untuk membeli sebuah hotel di London," jelasnya.
Isu 1MDB menjadi hangat setelah syarikat yang milik penuh kerajaan itu dikatakan mengalami kerugian hampir RM38 bilion.
Kajian yang dijalankan 1MDB membolehkan penilaian dibuat ke atas syarikat pada masa hadapan
Ia turut mendapat kritikan pelbagai bukan sahaja dari pembangkang malah dari tiga mantan Menteri Kewangan iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin.
Bagaimanapun 1MDB telah memberi jaminan bahawa semua pelaburannya diurus secara berhemat dan profesional, dan dalam keadaan baik untuk membayar semua hutang.