Berkongsi detik cemas itu Mohamad Irfan Kamaruzaman berkata kejadian yang berlaku itu sangat pantas dan tidak sampai satu minit kelibat rakan-rakannya sudah tidak kelihatan.
Pada mulanya dia dan lima lagi rakannya berkunjung ke Pantai Teluk Bidara itu kira-kira jam enam petang untuk berlari di tepi pantai sebelum mengambil kerputusan untuk mandi di pantai itu.
Suasana gembira bertukar cemas apabila sebahagian rakannya tiba-tiba hilang dibawa ombak.
Katanya lagi, suara rakannya meminta tolong masih tergiang-giang di telinganya dan kenangan ketika mandi itu juga masih segar di ingatannya.

Mohamad Ifran berkata sahabatnya itu terkapai-kapai meminta tolong dan mereka berusaha membantu dengan mencampak pelampung.
“Seorang itu panggil nama saya, seorang lagi menjerit meminta tolong. Kita orang tidak pandai berenang, jadi tidak boleh buat apa-apa. Ada itu kami minta pelampung dan baling pelampung tetapi dia (mangsa) tidak sampai hendak ambil pelampung,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian, di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat kegembiraan enam pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun bertukar tragedi selepas empat daripada mereka hilang, dikhuatiri lemas.