KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi DAP yang juga peguam terhormat, Karpal Singh maut dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Gua Tempurung, Gopeng awal pagi ini.
Karpal, 74, maut di tempat kejadian dalam nahas yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu. Kemalangan itu turut meragut nyawa pembantu beliau, Michael Cornelius, 39 tahun.
Anak sulung Karpal, Gobind Singh Deo mengesahkan pemergian bapanya melalui satu kenyataan di Twitter pada pukul 3.40 pagi.
Karpal sebelum itu dilaporkan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang bersama anak lelakinya, Ramkarpal Singh untuk mengendalikan satu kes mahkamah pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata Karpal, dan pembantu peribadinya Michael, maut di tempat kejadian.
Selain itu, katanya, pembantu rumah Karpal Singh, seorang wanita warga Indonesia cedera parah dan mengalami pendarahan di bahagian otak sementara anak lelaki pemimpin DAP itu, Ram Singh, 38, dan pemandu kenderaan MPV tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan pada pukul 12.40 pagi itu.
Kereta yang membawa mendiang Karpal Singh remuk teruk dalam kemalangan berdekatan Tapah
"Siasatan awal polis mendapati kenderaan MPV jenis Toyota Alphard berwarna putih yang membawa lima penumpang termasuk Karpal Singh dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan apabila tiba di kawasan kejadian dan melanggar bahagian kanan lori yang sedang bergerak di sebelah kiri laluan itu," katanya.
Ramkarpal dan pemandu kereta yang mereka naiki dilaporkan cedera.
Menurut laporan, kereta jenis Toyota Alphard yang mereka berlanggar dengan sebuah lori. Rakaman foto di tempat kejadian menunjukkan kenderaan berwarna putih itu rosak teruk.
Beliau berkata lori lima tan yang membawa muatan simen, besi dan mozek itu dipercayai bergerak perlahan di sebelah kiri laluan ke utara itu memandangkan ia membawa muatan berat dan tempat kejadian juga merupakan kawasan laluan berbukit.
Ng berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.
Anak mendiang, Gobind Singh ditenangkan sahabat handai di Hospital Raja Permaisuri Bainun
Semakan polis terhadap kenderaan MPV Toyota Alphard tersebut mendapati terdapat 29 kesalahan lalulintas memandu laju direkodkan dibawah Seksyen 079 (2) Akta Pengangkutan jalan 1987 dan daripada jumlah tersebut, 15 saman masih belum dijelaskan.
Operasi menyelamat kesemua mangsa dalam kemalangan itu dibantu anggota Bomba dan Penyelamat di tempat kejadian, katanya.
Karpal pernah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 2005 yang menyebabkan beliau lumpuh dan sejak itu menggunakan kerusi roda.