Kebakaran bangunan KWSP tidak membabitkan sebarang unsur jenayah, sebaliknya adalah satu kemalangan ketika kerja pembaikan masalah kebocoran dijalankan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata berdasarkan siasatan bomba, pihak kontraktor tidak mengetahui 'cladding' pada bangunan itu dibuat daripada bahan 'polystrene foam'.

"Saya mahu menegaskan mana-mana bangunan yang memasang cladding dengan bahan-bahan yang tidak diluluskan perlu ditanggalkan dengan segera.

"Kita tidak mahu kejadian yang sama berulang. Kejadian yang sama pernah berlaku di bangunan Perpustakaan Kuala Lumpur sebelum ini," katanya dalam sidang media khas di sini pada Rabu.

Jelasnya, tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang didapati menggunakan bahan yang tidak diluluskan.

"Pihak bomba akan buat 'spot-check'. Tolong beri kerjasama kepada mereka. Jika ada apa-apa yang meragukan, sila hubungi pihak bomba.

"Ini soal keselamatan diri sendiri, keluarga, pekerja. Saya merayu kepada semua untuk mendapat nasihat bomba," katanya.

Dalam pada itu, kebakaran yang berlaku pada Selasa hanya membabitkan lima peratus daripada keseluruhan luar bangunan, iaitu pada bahagian panel tambahan di bahagian kiri dan kanan dan sebahagian kecil di tingkat enam.

Beberapa kenderaan di parkir sekitar bangunan itu turut terbakar akibat terkena api dari serpihan panel tambahan yang jatuh.

Seramai 527 pekerja di bangunan itu pula berjaya menyelamatkan diri.