Dua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menimbulkan kekecohan di lobi Parlimen dengan bertikam lidah sesama sendiri.

Tidak hanya menjerit sehingga mencetuskan kekecohan, bahkan Ahli Parlimen Kuala Krau, Pahang dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Perak itu saling menghamburkan kata-kata kurang sopan di hadapan petugas media.

“Gambar anak aku sakit pun viral,” tengking Ismail kepada Tajuddin yang berdiri di depannya.

Tengkingan itu kemudiannya disambut dengan herdikan Tajuddin yang menuduh isu itu tidak ada kena mengena dengan anak Ismail.

Tidak lama selepas itu, Ismail mengejar Tajuddin yang menuju ke bangunan pejabat Ahli Parlimen pembangkang.

“You (anda) lah bodoh. Apa? Apa?” balas Ismail.

Mereka terus berbalas kenyataan dengan menyebut beberapa perkara termasuk “kongsi gambar”, “anak” dan “dapatkan sokongan”.


Pertelingkahan itu bagaimanapun reda apabila pegawai keselamatan Parlimen meleraikan kekecohan.

Sementara itu, Tajuddin ketika ditemui media memberitahu itu, kekecohan itu hanyalah salah faham yang tercetus antara dua rakan.

Katanya, pertelingkahan beliau dengan Ismail juga sudah diselesaikan.

"Sudah, sudah, salah faham antara kawan. Sudah selesai, kenapa media (berminat) hendak tahu sangat?

“Salah faham antara kawan, kalau cerita hal rumah tangga, salah faham, sudahlah pergi makan,” jelasnya.

Ismail dalam pada itu turut menjelaskan, salah faham itu kerana Tajuddin menyangka pertemuannya bersama kawan-kawannya bermotifkan politik semata-mata.

“Sebenarnya kawan-kawan datang ziarah anak saya,” jelas beliau.

Rakaman video perang mulut antara dua ahli politik pembangkang itu kini tular di media sosial dan menjadi bahan perdebatan dalam kalangan netizen.