Ahli keluarga pelajar tahfiz, Mohammad Muzaffar Mohammad, 11, yang dilaporkan hilang selepas membonceng motosikal seorang lelaki yang tidak dikenali pada Jumaat bersyukur kerana pelajar terbabit selamat ditemui.

Bapa tiri pelajar berkenaan, Sabri Abdul Ghani memaklumkan, dia dan isteri, Amnah Basri berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mengesan anaknya sehingga berjaya ditemui .

Sabri berkata dia dimaklumkan anaknya ditemui orang awam yang kemudiannya membawanya ke Ibu Pejabat Polis daerah Taiping, Perak petang Sabtu.

“Berterima kasih banyak kepada pihak berkuasa, pegawai dan orang bawahan kerana bertungkus lumus, mencari dan usaha untuk bawa dia pulang.

“Saya tidak pasti, tetapi dimaklumkan ditemui dekat surau di Taiping sebelah dengan balai polis di Taiping. Terima kasih kepada orang awam yang telah selamatkan dia dan menyerahkannya pada polis. Keadaan dia trauma sikit, takut dan tak ingat apa. Tetapi Alhamdulillah sihat. Tidak ada apa yg cacat cela,” kata Sabri ketika ditemui di sini pada Sabtu.


Sementara itu, Mohammad Muzaffar jelas masih trauma dengan kejadian itu.

“Malam tidur di hotel, dekat Taiping. Mula dia kata hendak hantar balik, lepas tu dia bawa pergi rumah dia. Rumah dia dekat dengan hotel. Saya takut , dia bawa naik motosikal sampai Taiping kemudian dia tinggalkan dekat stesen bas, orang awam bawa pergi balai polis,” katanya.

Tambahnya, dia tidak dapat menghubungi keluarga kerana tidak mengingati nombor telefon bimbit ibunya.

Mohammad Muzaffar di laporkan hilang pada pagi Jumaat lalu.

Dia sebelum itu dikatakan membonceng motosikal seorang lelaki yang tidak dikenali yang menawarkan bantuan selepas motosikal bapa tirinya pancit di atas Jambatan Pulau Pinang.

Ketika itu, mangsa bersama bapanya sedang menyeberangi jambatan berkenaan untuk pulang ke rumah di Kampung Rawa, George Town.