Dua buah kereta kemalangan di dalam Terowong Menora, di sini, menyebabkan kesesakan teruk di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala Utara.

Kemalangan di Kilometer 261.4 pada kira-kira jam 11.30 itu melibatkan dua buah kereta jenis Proton Saga dan Proton Saga Aeroback.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Zaid Abd Aziz berkata tiada mangsa ditemukan dalam insiden itu.

“Anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kes itu pada jam 11.31 pagi tadi.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati tiada mangsa di dalam kedua-dua kereta tersebut.

“Anggota kemudiannya bertindak melakukan pemantauan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada mangsa lain terlibat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

Tambah beliau, operasi itu tamat sepenuhnya pada jam 12.08 tengah hari tadi.