Rakan kepada Justinian Tan, lelaki warga Singapura yang meninggal dunia akibat kecederaan dalam Kemalangan Kenderaan Bermotor (MVA) di Johor Bahru, berkata halangan bahasa mungkin menyebabkan berlakunya salah faham dengan kakitangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 25 Ogos lepas.

"Apabila kemalangan itu berlaku, banyak perkara berlaku serentak, jadi menunggu bantuan tiba terasa amat lama.

"Saya ingatkan ia mengambil masa 30 minit tetapi catatan log mereka berbeza pula," kata Joshua De Rozario, 25, yang merujuk kepada kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Jumaat.

Menurut laporan The Straits Times, De Rozario berkata mungkin berlakunya salah faham semasa di hospital itu kerana kakitangannya "bertutur dalam bahasa Melayu dan kami bercakap dalam bahasa Inggeris, dan kami mengalami kesukaran untuk berkomunikasi".

"Ramai daripada kita yang pergi ke JB (Johor Bahru) untuk makan malam atau membeli-belah, dan kita sebenarnya tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila sesuatu berlaku di sana," katanya yang dipetik berkata demikian dalam laporan itu.

"Itulah yang kami mahu sampaikan. Ia bukan tentang membalas dendam kerana itu tidak akan mengembalikan Justinian. Kami mahu meneruskan kehidupan," katanya.

Pada Jumaat, KKM menyatakan bahawa tidak ada kelewatan atau desakan pembayaran sebelum HSA memberikan rawatan kepada Tan.

BACA: Artikel tidak berasas: KKM diminta ambil tindakan undang-undang ke atas portal Singapura

BACA: Isu HSA: Kementerian akan hantar surat kepada Singapura - Dr Subramaniam


Kenyataan KKM dibuat susulan laporan sebuah portal berita Singapura bahawa mangsa mengalami kecederaan kritikal akibat MVA itu, dan mendakwa masa respons ambulans HSA adalah terlalu lama sehingga 30 minit.

Tan meninggal dunia akibat kemalangan langgar dan lari membabitkan sebuah kereta Proton Saga ketika beliau dan lima rakannya sedang menuju ke kenderaan mereka selesai menjamu selera kira-kira 3 pagi di Johor Bahru.

Tan kemudian dipindahkan ke Hospital Besar Singapura dan meninggal dunia lima hari kemudian selepas alat bantuan pernafasan ditanggalkan.

-- BERNAMA