RAKYAT Malaysia meyaksikan dua piagam dilancarkan pada bulan September tahun ini.

Pertama, Piagam Kemuafakatan Nasional yang ditandatangani di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bertujuan untuk mengkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat Malysia, terutamanya di kalangan umat Islam dalam negara.

Sementara satu lagi adalah Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air yang dilancarkan di Muzium Seni Islam, Kuala Lumpur untuk memperkasa dan melestarikan warisan dan budaya nasional.

Tidak dapat nafikan rakyat Malaysia merasa bangga dengan banyak kejayaan yang dicapai malah dinikmati hasil pembangunan yang sungguh memberangsangkan sejak merdeka dalam pelbagai bidang pembangunan yang berbentuk fizikal.

Malahan, pendapatan perkapita rakyat Malaysia yang meningkat berkali-kali ganda dan kadar kemiskinan juga semakin berkurangan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Namun, kita tidak terlepas daripada mendengar kebelakangan ini kononnya generasi muda, terutamanya yang lahir pasca merdeka, kurang prihatin terhadap warisan, adat dan budaya tempatan.

Mereka juga didakwa terperangkap dalam arus modenisai yang dibawa gelombang globalisasi dan kesan ledakan teknologi maklumat.

Malah, nilai murni dan adat tinggi nilainya yang diwarisi serta merentasi zaman dikesan merosot malah dihanyutkan liku peredaran zaman.

Dengan itu, pelancaran Piagam Warisan dan Budaya Nasional pada ketika ini adalah tepat pada masanya kerana rakyat Malaysia dikesan semakin alpa atau terpinggir dari adat dan budi yang diwarisi turun temurun merentasi zaman.

Di sebaliknya, budaya kebencian (hate culture) semakin menular kebelakangan ini di kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum.


Kongres Kebudayaan Pertama

Menyedari kepentingan adat dan budaya dalam masyarakat, Kongres Kebudayaan Pertama (KKI) dianjurkan pada tahun 70-an untuk mencari jalan bagi mengatasi masalah kehakisan nilai-nilai warisan, adat dan budi rakyat Malaysia.

KKI tersebut mengariskan beberapa resolusi untuk melahir dan membina satu ‘Masyarakat Malaysia’ yang mementingkan adat dan budaya berpaksikan budaya tempatan, terutamanya budaya pribumi.

Namun, resolusi KKI itu dikesan kurang ditekan atau berjaya dilaksanakan.

Dengan itu, kesedaran timbul untuk mengadakan Kongres Budaya 2017 yang diusahakan Tan Sri Dr. Rais Yatim, seorang pejuang yang tersohor dengan hal ehwal warisan dan budaya nasional, untuk menyuntik dan menggerakkan pemikiran rakyat pelbagai kaum, terutamanya orang Melayu.

Ia memberi tumpuan terhadap pentingnya memfokuskan semula amalan budaya tinggi di kalangan masyarakat Malaysia.

Antara resolusi yang dihasilkan pada Kongres Budaya 2017 adalah mencakupi hal berkaitan usaha menyemarakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Rukun Negara sebagai tiang seri negara, Islam sebagai agama rasmi dan mempertahankan kedudukan Raja-raja Melayu bersandarkan Perlembagaan Persekutuan.



Dalam konteks ini, Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat sebagai satu usaha penerusan dalam memantapkan dan melaksanakan resolusi Kongres Budaya 2017.

Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air merupakan program anjuran bersama Yayasan Al-Bukhary yang diterajui oleh Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dan Yayasan Budi, kepimpinan Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Kedua-dua organisasi ini adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam mempromosikan warisan, adat dan budaya Melayu berpaksikan Islam dalam negara.

Piagam tersebut dilancarkan untuk melaksanakan hasil resolusi yang telah dibentangkan pada Kongres Kebudayaan 1971 dan Kongres Budaya pada 2017 dalam melestari bidang warisan dan budaya negara.

Piagam tersebut dilaporkan juga dilancarkan untuk mencapai hasrat melahirkan sebuah masyarakat berbudaya tinggi termasuk kelestarian budaya Melayu yang utuh.

Dengan adanya Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan Badan Penyelidikan Arkelogi di Universiti Sains Malaysia (USM), Piagam Warisan, Adat dan Budaya diharapkan membantu usaha kerajaan yang mahu menjaga dan mengekalkan kesenian rakyat Malaysia yang penuh dengan pelbagai adat resam dan cara hidup.

Dalam hubungan ini, rakyat tidak harus terpesong dengan ideologi dan budaya asing yang tidak secocok dengan adat dan budaya tempatan.


Tinggi nilai

Di sebaliknya, paling penting harus ditumpukan kepada warisan, adat dan budaya tempatan yang setanding, malah lebih tinggi nilainya daripada nilai-nilai yang di bawa oleh arus globalisasi dari luar.

Dalam hubungan ini, penggiat seni dan Badan-badan Bukan Kerajaan (BBK) yang mewakili kepentingan warisan, adat dan budaya kaum masing-masing wajar memfokuskan kepada aktiviti untuk mempromosi nilai-nilai sejagat yang terkandung dalam agama masing-masing serta warisan dan budaya tanah air secara inklusif.



Nilai-nilai murni yang terkandung dalam ajaran Islam, Hindu, Buddha, Kristian, Confusius dan nilai-nilai native Sabah dan Sarawak yang banyak menekankan kepada prinsip kemanusiaan perlu ditonjolkan dan diterapkan dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.

Antara nilai utama yang perlu ditonjolkan adalah hidup bersama, saling hormat menghormati agama orang lain, mengelak daripada perbuatan mencaci agama lain (bigotry), menghayati warisan, agama serta adat orang lain dalam melahirkan satu bangsa Malaysia yang tinggi nilai budinya.

Dalam pada itu, aktivis politik dan netizen yang ‘membiak’ di seluruh negara kesan ledakan maklumat seperti cendawan tumbuh selepas hujan wajar menyumbangkan masa dan ruang untuk mempromosi warisan, adat dan budaya nasional.

Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu bertanggungjawab membentuk satu sekretariat khas di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk memastiksan piagam yang dilancarkan Perdana Menteri itu dilaksana dengan jayanya.

Apapun, piagam ini tidak harus sekadar menjadi hiasan dalam pejabat Badan-badan Budaya dan Kesenian seperti Prinsip Rukun Negara di dinding dan buku nota sekolah.

Di sebaliknya, ia perlu menjadi pedoman dan mercu tanda kepada semua aktiviti dan program BBK (NGO) yang berkaitan dengan warisan, adat dan budaya.

Adalah diharapkan, Piagam Warisan dan Adat Tanah Air ini akan menjadikan rakyat Malaysia sebagai sebuah kelompok masyarakat yang terhormat dan mempunyai budaya tinggi di dunia.



* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI