Kerajaan masih mengkaji dan masih belum membuat apa-apa keputusan terhadap empat cadangan bagi pengambilalihan Malaysia Airlines (MAS)

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, semua cadangan itu diterima daripada syarikat penerbangan tempatan.

"Cadangan berkenaan masih dikaji dan ketika ini masih belum ada keputusan lagi. Tiada keputusan, banyak orang buat tawaran, ada yang hendak beli ada yang hendak urus sahaja.

"Kita sedang kaji cadangan- cadangan ini, ada banyak, setakat ini terima empat cadangan, kebanyakan syarikat tempatan,” katanya semasa sidang media selepas menyampaikan ucaptama Persidangan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) 2019 di sini, pada Selasa.

BACA: MAS perlu kekal identiti selepas dijual - Tun Mahathir

BACA:
"Saya sayang MAS" - Tun Mahathir

Sebelum ini, Pengasas Bersama Kumpulan AirAsia Bhd, Datuk Pahamin Ab Rajab dilaporkan mahu menyelamatkan MAS dengan cadangan pengambilalihan yang telah dikemukakan kepada Dr Mahathir.

Usaha Pahamin bersama lima usahawan yang namanya tidak didedahkan namanya itu dikatakan bukan atas asas komersial tetapi lebih kepada semangat cintakan negara.

Pahamin juga dikatakan komited tidak akan ada pembuangan pekerja sekiranya pengambilalihan itu terjadi.

Dalam pada itu kata Dr Mahathir, kerajaan akan mencari pengurusan yang lebih berpengalaman untuk syarikat penerbangan itu.

Sebelum ini juga, veteran MAS mahu pengurusan syarikat penerbangan itu dirombak selepas gagal mencapai kedudukan ke-20 terbaik pada kaji selidik antarabangsa penerbangan baru-baru ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini berkata, pihak pengurusan MAS bertanggungjawab untuk meneliti pilihan-pilihan tersebut termasuk saranan supaya ia ditutup.

Jelasnya, keputusan yang bakal diambil kelak turut mengambil kita pandangan Dr. Mahathir ketika mesyuarat bersama pengurusan lembaga pengarah Khazanah, baru-baru ini.

Sebelum ini juga, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya tidak berminat untuk mengambil alih operasi MAS.