Lebih meresahkan kita, apabila saban hari ada sahaja kes bunuh diri yang dilaporkan atau tular di media sosial. Persoalannya, bagaimana perkara ini boleh berlaku? Atau sebenarnya langkah yang diambil pihak tertentu belum mencukupi?
Di Lembah Klang sahaja, 35 peratus daripada 24,824 pemanggil dalam tempoh tujuh bulan, mempunyai niat untuk membunuh diri. Itu yang didedahkan Befrienders Kuala Lumpur ketika dihubungi Astro AWANI baru-baru ini.
Daripada jumlah panggilan itu, rata-rata pemanggil meluahkan rasa tertekan akibat kehilangan pekerjaan, tiada tempat tinggal, tiada wang untuk membeli makanan, masalah hubungan suami isteri dan keletihan pandemik.
Menurut Pengarah Publisiti Befrienders Kuala Lumpur, Ardy Ayadali, setiap hari sejak Januari lalu, jumlah panggilan yang diterima mereka meningkat kepada 115 panggilan sehari.
"Kalau kita nak bandingkan statistik panggilan tahun lepas dan tahun ini memang ada peningkatan ketara. Tahun 2020 Januari hingga Julai, jumlah panggilan yang kami terima 17,643 dan untuk tahun ini dalam tempoh sama panggilan kami terima 24,284.
"Jadi jumlah ini menunjukkan peningkatan dalam 38 peratus, kalau nak letak jumlah panggilan kita terima sehari untuk tempoh tujuh bulan pertama tahun 2020, lebih kurang 83 panggilan sehari. Untuk tahun ini secara purata kami terima dalam 115 panggilan sehari," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
35 peratus niat bunuh diri
Daripada jumlah itu jelas Ardy, 35 peratus pemanggil berniat untuk membunuh diri kerana mereka seolah-olah sudah hilang harapan.
"Befrienders KL satu organisasi pencegahan bunuh diri, jadi memang kami banyak terima seperti berikut. Daripada jumlah peratusan dalam 35 peratus pemanggil yang menghubungi kami mempunyai keinginan untuk bunuh diri termasuk mereka yang memikirkan dan membuat perancangan untuk membunuh diri.
"Jadi bila mereka telefon Befrienders, apa yang kami berikan adalah tempat selamat di mana mereka boleh bercakap mengenai perasaan ingin bunuh diri itu tanpa perlu risau, sebab biasanya kalau kita cerita kepada orang ramai, mereka mungkin menjadi cemas.
"Tetapi apabila mereka bercakap dengan Befrienders, kami akan menerima dan mendengar mereka, menyelami kesakitan emosi yang mereka lalui. Kami dapat memberi sokongan emosi dan mengurangkan kesakitan yang mereka rasai," katanya lagi.
65 peratus panggilan yang diterima, jelas Ardy, adalah daripada golongan wanita, manakala 35 peratus lagi lelaki berusia dalam lingkungan 40 tahun ke bawah. Rata-rata pemanggil bekerja sektor swasta, pelajar dan kakitangan awam.
Usia 11 tahun antara pemanggil
Lebih mengejutkan, apabila Ardy dan pasukannya pernah mendapat panggilan daripada kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun, yang memerlukan bantuan mereka.
Rata-rata mereka tertekan dengan keadaan ketika ini yang terbatas serta kekangan pembelajaran dalam talian.
"Dari segi pekerjaan kebanyakan mereka merupakan pelajar institusi pengajian tinggi. Kita (Befrienders KL) juga ada menerima pemanggil yang semuda usia 11 hingga 12 tahun," katanya lagi.
Semua itu berlaku, jelas Ardy, mungkin kerana kurangnya kesedaran keluarga dan masyarakat yang seolah-olah memandang enteng isu kesihatan mental.
Ada antara pemanggil katanya, didakwa sudah pernah meluahkan kesakitan emosi yang mereka alami, namun tidak diendahkan ahli keluarga sendiri.
"Terutama golongan muda seperti kanak-kanak yang tinggal bersama ibu bapa, kebanyakan ibu bapa dikatakan kurang prihatin dengan kesihatan mental yang melanda kanak kanak tersebut.
"Jadi bila mereka katakan mereka ada masalah kesihatan mental atau kemurungan, segelintir ibu bapa mengambil jalan mudah. Mereka seolah-olah mengenepikan kanak kanak tersebut.
"Ada yang bagi reaksi kata sekejap sahaja itu atau memarahi kanak-kanak terbabit kerana tidak mengaji dan sebagainya. Bila ada respon sebegini, kanak-kanak itu akan terus 'shut down' dan tidak mahu bercakap dengan ibu bapa, tetapi masalah kesihatan emosi mereka itu tetap ada. Jadi mereka memerlukan 'outlet' tempat lain untuk meluahkannya," ujarnya.
Petugas Barisan Hadapan
Tugas sebagai petugas talian sokongan emosi bukan kerja yang mudah. Tambah Ardy, mereka turut menerima panggilan daripada petugas barisan hadapan terutamanya doktor dan jururawat yang amat memerlukan bantuan mereka.
"Kebanyakan mereka (doktor dan jururawat) berkongsi mengenai kepenatan, kekecewaan yang mereka rasakan kerana sudah terlalu lama pandemik ini.
"Mereka tidak dibenarkan bercerita kepada sesiapa terutamanya di media sosial, jadi mereka perlukan 'outlet' lain, untuk membolehkan mereka bercerita. Jadi mereka gunakan khidmat Befrienders sebagai salah satu cara untuk 'destress' diri mereka," jelas Ardy lagi.
Kes harian yang semakin membimbangkan juga meresahkan mereka, tatkala harapan disandarkan apabila Malaysia berjaya mendapat imuniti kelompok dalam memenangi peperangan COVID-19 ini.
BACA: Sakit mental akibat stres PKP? Jangan pendam, luahkan kepada kawan, keluarga
BACA: Mercy Malaysia bantu tangani kesihatan mental petugas barisan hadapan
Semakin terbeban
Mungkin kisah ini akan membuka mata semua pihak, agar lebih peka kepada ahli keluarga dan masyarakat setempat. Jelas Ardy, perkara itu boleh dilakukan dengan bertanya khabar dan mendengar sebarang keluhan atau luahan emosi seseorang individu.
Ia bukan sahaja melegakan individu tersebut, malah mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung petugas di talian sokongan emosi seperti Ardy dan pasukannya.
"Memang penat itu memang betul, kami semua manusia biasa yang ada kehidupan dan masalah sendiri. Jadi kepenatan itu memang tidak boleh nak cerita, terutama mengenai kesakitan, masalah yang dihadapi orang lain, jadi memang emosi kita sendiri akan terganggu.
"Jadi setiap sukarelawan bertugas di Befrienders KL telah dilatih sepenuhnya, salah satu modul latihan mengenai kesedaran diri sendiri.
"Kita perlu sedar 'limitation' kita sendiri, kita perlu sedar apa yang kita boleh terima dan apa tidak boleh kita terima.
"Dari segi sokongan petugas, kami mempunyai sistem baik, kami saling memberi sokongan kepada setiap petugas," kongsinya lagi.
Bersyukur dapat membantu
Meskipun hanya mempunyai 120 kakitangan di belakang Befrienders KL, tetapi bagi Ardy, pasukannya sudah memberikan perkhidmatan terbaik buat masyarakat.
"Dalam keadaan pandemik macam ni, setiap orang ada misi dan tugas masing-masing. Sekiranya kita dapat membantu 'small scale', ia amat membantu.
"Sesetengah orang berikan bantuan makanan kepada orang susah, untuk saya sendiri walaupun saya jadi individu yang mendengar di belakang ganggang telefon, saya rasa saya dapat menyumbang secara tidak langsung meringankan beban mereka rasakan," katanya lagi.
Benar kata pepatah, 'bersatu teguh bercerai roboh', mungkin itu juga memberi perumpamaan yang jelas bahawa setiap lapisan masyarakat perlu membantu satu sama lain.
Jika ada kawan, ahli keluarga mahupun jiran yang mengalami kesakitan emosi, hulurkan tangan ringankan beban mereka.
Bagi yang memerlukan perkhidmatan sokongan emosi, boleh menghubungi talian tertera.
- MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
- Talian Kasih 15999 / WHATSAPP Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan)
- KSK-Care JAKIM di WHATSAPP 0111-9598214
- Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929
*Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.
Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.
Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.
Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.