Kerajaan menyokong ekosistem keusahawanan digital selain komited untuk mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah ekonomi maju berasaskan pengetahuan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata kerajaan mahu ekonomi maju itu bersifat inklusif dan mampan, di samping dapat memperkasakan semua peringkat masyarakat pelbagai kaum.

"Saya berharap inkubator baharu ini akan berperanan sebagai platform untuk memupuk idea baharu yang akan mendorong pembangunan lebih inklusif untuk manfaat semua pihak," katanya semasa melancarkan Pusat Inkubator Brunsfield TusStar Sdn Bhd di sini, hari ini.

Pusat itu merancang untuk menghimpunkan projek yang memiliki teknologi inovasi terkemuka dalam industri atau model perniagaan berasaskan teknologi.

Inkubator itu akan memilih pengasas yang mempunyai model perniagaan terbaik serta keusahawanan dan membimbing bakat penting dalam inovasi teknologi.

Dr Wan Azizah berkata inovasi dan keusahawanan digital berpotensi untuk mengubah bagaimana rakyat Malaysia berinteraksi dengan dunia.

"Saya berharap usahawan kita akan mencetuskan inspirasi perubahan positif supaya dunia yang kita diami menjadi lebih baik," katanya.

Beliau berkata, Malaysia merupakan negara pesat membangun dengan hasrat utama untuk menyertai kumpulan negara maju dan berpendapatan tinggi.

"Bagi cita-cita besar ini menjadi realiti, kita memerlukan produktiviti yang lebih banyak dan menumpukan kepada teknologi, inovasi dan keusahawanan untuk memacu Malaysia ke hadapan," katanya.

Dr Wan Azizah berkata, ekonomi digital adalah pemacu baharu bagi pembangunan dan kini sebagai sumber utama pertumbuhan dunia memandangkan ia menyediakan peluang untuk melonjakkan pertumbuhan, memperluas peluang pekerjaan dan mempertingkat inovasi.

"Ekonomi digital, inovasi dan keusahawanan menawarkan peluang baharu bukan hanya untuk pertumbuhan ekonomi malah peluang kepada usahawan membuat pembaharuan dan menambah baik kebajikan ke arah kebaikan sosial," katanya.

-- BERNAMA