Sokongan penuh akan diberi terhadap inisiatif Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam menambah baik kementerian, namun jangan sampai memburukkan nama pihak lain, kata Khairy Jamaluddin.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau menyambut baik apa jua usaha yang akan dilakukan oleh kementerian, dan beliau sedia beri kerjasama sepenuhnya jika ia diperlukan.

“Saya ucapkan tahniah sebab menteri nak kuatkan lagi sistem perolehan di KBS, dan saya sokong supaya jadi antara kementerian yang terbaik dari segi urus tadbir, dan saya sendiri rela dan sedia untuk kerjasama kepada menteri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Jabatan Audit Negara, sekiranya diperlukan.

“Saya juga menyokong inisiatif untuk menjadikan kementerian ini lebih baik, tapi jangan sampai memburuk-burukkan orang lain, terutamanya apabila memberikan maklumat yang salah," katanya ketika bangun mencelah penggulungan perbahasan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong di oleh Syed Saddiq di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq membangkitkan beberapa isu yang berlaku di KBS sewaktu pentadbiran Barisan Nasional, termasuk beberapa projek yang dilakukan tanpa melalui tender terbuka, serta pemberhentian program Kaedah Penilaian dan Pengurusan Risiko (CRM) oleh SPRM di kementerian itu.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, beliau akan memastikan apa jua perolehan yang melalui tender terhad atau rundingan terus sewaktu pemerintahan lepas, akan dikaji semula, dan akan dibuka melalui tender terbuka.


Ketika mencelah, Khairy menjelaskan peningkatan projek di bawah KBS melalui rundingan terus atau tender terhad pada 2017 adalah kerana ketika itu Malaysia merupakan tuan rumah kepada Sukan SEA.

Namun, tegasnya lagi, ia tidak bermaksud projek-projek berkenaan tidak disaring dengan teliti.

“Sama ada melalui tender terbuka terhad, rundingan terus, atau RFP (request for proposal), saya nak jelaskan, semuanya yang kita buat waktu saya Menteri, ia melalui pelbagai saringan, dan ia juga harus mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan,” katanya lagi.

Mengenai dakwaan seolah-olah KBS sengaja menghentikan CRM pada 2017, Khairy berkata, terdapat surat dari Timbalan Ketua Pengarah SPRM ketika itu yang mengarahkan agar program berkenaan ditangguhkan sehingga tempoh yang ditetapkan kemudian.