Kira-kira 30,000 hadir mengikuti ceramah Dr Zakir Naik di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada malam Sabtu, walaupun kehadiran pengunjung pada awal malam diuji dengan keadaan hujan lebat.

"Sebelum ini tengok di YouTube sahaja. Saya datang sebab nak dengar sendiri ceramah Dr Zakir. Nak tengok depan mata.”

Begitulah komen sebahagian besar hadirin yang membanjiri stadium di sini sempena siri jelajah Dr Zakir di Malaysia.

Lebih istimewa, sesi itu turut menarik minat ramai pengunjung dari pelbagai bangsa dan yang bukan beragama Islam, untuk sama-sama mengikuti intipati ceramah Dr Zakir.

Lebih 15,000 hadirin mula berpusu-pusu masuk ke stadium seawal jam 5 petang.

Acara ceramah dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh Ibrahim Az-Zahrani dari Arab Saudi.

Dua pendakwah tempatan, Kamaruddin Abdullah dan Firdaus Wong kemudiannya menyampaikan ceramah masing-masing.

Anak Dr Zakir Naik, Fariq, turut menyampaikan ceramah yang menyentuh beberapa tanggapan salah mengenai Islam dan cara menanganinya.

Hujan lebat sepanjang tiga ceramah tersebut menyebabkan kebanyakan hadirin di padang mengambil tempat di kawasan berbumbung.

Zakir muncul diiringi tepukan gemuruh pada jam 8:45 malam seterusnya menyampaikan syarahan yang berjudul: 'Is the Quran God's Word? (Adakah Quran merupakan kata-kata Tuhan?).

Dalam ceramahnya, Zakir menegaskan bahawa dia bukannya hadir untuk menimbulkan fitnah atau menghina mana-mana agama, namun untuk mencari persamaan dan penyatuan.

Sesi ceramahnya diakhiri sesi soal jawab yang bermula pada jam 11:30 malam.


Dua individu juga telah memeluk agama Islam dalam majlis tersebut, dengan dibimbing untuk mengucapkan kalimah syahadah.

Sejak tiba di negara ini pada 9 April lepas, ia merupakan ceramah pertama tokoh pendakwah terkenal dari India itu di Kuala Lumpur selepas empat kali mengadakan ceramah di Terengganu.

Beliau dijangka berada di Melaka esok bagi meneruskan jelajah ceramahnya di Malaysia.

BACA: Ceramah Dr Zakir Naik: 40,000 tidak berganjak walaupun hujan

BACA: Gadis Kristian peluk Islam, ucap dua kalimah syahadah di hadapan Dr Zakir Naik

BACA: Syarahan Dr Zakir naik di UTeM diteruskan dengan tajuk baharu

BACA: 'Terima kasih Hindraf' - Dr Zakir Naik