Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi mengesahkan perhimpunan #KitaLawan akan diteruskan pada 7 Mac.

Nik Nazmi ditemui setelah perbincangan beliau bersama Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah dan lebih kurang 10 pegawai polis yang lain di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi.

“Setelah perbincangan dengan pihak polis, kita teruskan perhimpunan.

“Yang paling penting kita minta orang ramai untuk turun dan berhimpun esok (28 Februari) tapi kemuncaknya adalah pada 7 Mac.

Ditanya berapa ramai yang dijangka hadir, Nik Nazmi jawab dengan ringkas: "Seramai mungkin."

Turut hadir di IPD Dang Wangi adalah aktivis Anak Muda Adam Adli yang berkata perhimpunan akan diteruskan tanpa sebarang perubahan.

“Ia tetap akan diadakan di Kuala Lumpur, khususnya di kawasan Sogo. Pihak polis sudah sedia maklum dengan apa yang akan berlaku. Hasil perbincangan itu, perhimpunan akan diteruskan tanpa sebarang perubahan,” katanya.

Ketua Pemuda DAP, Teoh Kok Seng berkata keselamatan tetap menjadi keutamaan.

“Fokus utama ketika mesyuarat tadi adalah mengenai keselamatan dan juga keadaan lalu lintas. Pihak penganjur akan memastikan keselamatan dan keadaan lalu lintas akan dikawal dengan baik.

“Pihak polis ada mencadangkan untuk menggunakan stadium tapi pihak penganjur perlu berbincang,” katanya.

Penolong Setiausaha I Pemuda PAS Mohd Faizul Salleh berharap tiada provokasi akan berlaku pada 7 Mac.

“Sebagai wakil Pemuda PAS, saya menyeru kepada rakan-rakan untuk elakkan sebarang provokasi.

“Bila ada pihak yang suka membuat provokasi, kita harap semua akan bersabar supaya kita tidak mahu sebarang masalah. Kita perlu berkerjasama untuk mengelakkan sebarang masalah,” katanya.

#KitaLawan merupakan satu perhimpunan pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda solidariti untuk pembebasan Ketua Pembangkang itu.

Pada 21 Februari, perhimpunan #KitaLawan di Sogo berakhir dengan penangkapan Adam Adli dan bekas Ketua AMK Fariz Musa.