Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tidak menjadi masalah untuk mana-mana kaum menganjurkan apa-apa kongres berkaitan kaum masing-masing.

Ujarnya, sebelum ini telah berlangsungnya beberapa kongres melibatkan kaum dan agama lain seperti Cina Hakka dan India, termasuk beliau pernah merasmikannya.

"Pelbagai kongres demi kongres. Ada kongres Hakka seluruh dunia dan tiada Melayu yang akan hadir.

"Saya pernah rasmikan kongres India dan kongres melibatkan bangsa yang lain. Tiada siapa halang.

"Tiada yang cakap jangan pergi kerana ia kongres Cina atau Hakka. Atau hanya pergi kongres Melayu. Saya sendiri pernah pergi ke Kongres Hakka Sedunia," katanya.



BACA: Lim Kit Siang persoal apa keperluan universiti awam anjur Kongres Maruah Melayu

Beliau berkata demikian sebagai mengulas permintaan veteran DAP, Lim Kit Siang yang sebelum ini meminta penganjur tidak meneruskan kongres itu selain mempersoalkan keperluan beberapa universiti awam menganjurkan acara itu.

Dalam masa sama, Kit Siang juga bertanya apakah Pusat Pengajian Kecemerlangan Universiti Malaya dengan kerjasama bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan UiTM sanggup menganjurkan kongres yang sama untuk meningkatkan maruah kaum lain di negara ini.