Kerajaan mengambil keputusan untuk menggantung sementara kemasukan rakyat China dari Wuhan, Hubei dan kelilingnya susulan penularan koronavirus di China yang semakin memuncak.

Berikut merupakan kenyataan penuh Jabatan Perdana Menteri.

KEMASUKAN PELAWAT NEGARA CHINA

Sejak timbulnya kes jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara China minggu lepas, Kerajaan Malaysia telah mengikut prosedur-prosedur yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mendapat nasihat pakar-pakar untuk menghadapi dan membendung jangkitan ini dari merebak dengan meluas.

Pemantauan telah dibuat dari semasa ke semasa. Pelbagai pihak sedang melakukan usaha yang terbaik untuk mencegah sebarang penularan. Berikutan dengan maklumat terkini, Kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen iaitu eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan (Visa on Arrival), e-visa dan visa manual kepada rakyat negara China dari Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei di kelilingnya.

Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira perkembangan terkini kes jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara China, khususnya di Wilayah Hubei tersebut dan ianya adalah berkuatkuasa serta merta.

Kemudahan imigresen ini akan diberikan semula setelah keadaan kembali normal.

Wisma Putra akan menyelaras pelaksanaan keputusan ini bersama pihak Kerajaan China.

Kerajaan juga ingin mengingatkan kepada semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sah atau palsu berkenaan novel koronavirus ini yang boleh menyebabkan ketidaktenteraman kepada masyarakat umum.

PEJABAT PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA
27 JAN 2020