HARI demi hari, impak media sosial dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap individu, badan korporat, perniagaan, parti politik mahupun kerajaan semakin ketara.

Media sosial bukan sahaja digunakan untuk memberi kesedaran ataupun memaparkan kejayaan seseorang, tetapi kini ia juga dijadikan sebagai platform untuk menegakkan keadilan ataupun menyuarakan pandangan.

Memang tidak dapat dinafikan pada masa ini, pihak berkuasa terutamanya pihak polis adalah antara yang menjadi tumpuan para netizen.

Berbekalkan hanya sebuah telefon pintar sudah memadai untuk meletakkan kredibiliti seseorang anggota PDRM dalam perbincangan hangat, bukan sahaja di mata masyarakat setempat tetapi juga di mata dunia.

Media sosial dijadikan sebagai ‘makhamah’ untuk membincangkan tatatertib mereka serta menuntut tindakan tegas jika anggota polis yang dimaksudkan benar-benar melakukan kesalahan tersebut.

Namun, adakah gambar atau rakaman video yang dikongsi sudah memadai untuk memaparkan sebuah situasi dalam konteks yang sebenar?



Yang buruk dan yang baik

Baru-baru ini, pengguna media sosial dikejutkan dengan rakaman video dua orang berpakaian seperti anggota polis yang memeras duit daripada seorang remaja lelaki.

Perkara itu nyata mengundang kemarahan netizen yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan.

Mereka juga mendesak PDRM untuk menyiasat tindakan ini serta mengambil tindakan yang serius terhadap dua individu berkenaan.

Sehubungan itu, Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), ACP Datin Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan berkata pihaknya memandang serius insiden tersebut yang secara terang-terangan telah mencemar imej dan kredibiliti pasukan.


Tetapi, insiden seperti itu bukan kali pertama berlaku.

Sebelum ini, beberapa rakaman perbuatan pegawai polis yang dikaitkan dengan rasuah, tata tertib turut viral di media sosial.



Berikut antara kes-kes viral yang melibatkan pegawai polis:

1) Februari lalu, tindakan seorang pegawai polis trafik meminta rasuah daripada seorang pemandu telah dirakam dan diviral di laman sosial Facebook.

Insiden berlaku setelah pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas telah ditahan pegawai polis tersebut.




2) Polis membuka kertas siasatan tatatertib berhubung kes seorang anggota polis trafik wanita yang didakwa memarahi seorang pengadu di kaunter pejabat pertanyaan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Mac lalu.

Siasatan itu dilakukan selepas video rakaman itu mula viral di media sosial.



3) Pada awal bulan Mac 2015, rakaman gambar dua anggota polis tidur ketika bertugas di Kaunter Pertanyaan Balai Polis Komuniti Mak Madin di Seberang Perai Utara viral di media sosial.

Ia mengundang kemarahan orang ramai sehingga mendesak PDRM untuk mengambil tindakan tegas.

Dua pegawai kemudian ditukar ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, serta-merta.


4) Sebuah video menjadi viral kerana mendakwa memaparkan seorang anggota polis Rendong bertindak kasar terhadap isterinya yang sedang berpantang

Netizen yang berang dengan tindakan itu meminta pihak berkuasa menyiasat insiden tersebut.


5) Rakaman video viral yang menunjukkan rakaman artis Zamani dibuli, dipaksa menyanyi lagu Gerimis Mengundang dengan tangan bergari, turut mencetus kemarahan orang ramai.

Empat anggota polis dikaitkan dengan rakaman dan penyebaran klip video itu kemudian ditahan dan ditukarkan ke bahagian operasi pejabat.




Namun, bukan sahaja kisah salah laku pihak berkuasa disebarkan di internet. Netizen turut berkongsi kisah pegawai polis yang melakukan tanggungjawab dengan penuh integriti.

1) Februari lalu, gambar menunjukkan seorang anggota Polis Trafik Bukit Aman yang bersembunyi di bawah rimbunan pokok di tengah lebuh raya dalam operasi had laju menjadi viral dalam kalangan pengguna media sosial.


2) Pada 20 Julai lalu, seorang netizen, Victor Chan merakamkan penghargaan untuk jasa serta pengorbanan anggota polis yang terpaksa bertugas di Hari Raya Aidilfitri menerusi laman Facebooknya.

Posting itu kemudian mendapat perhatian pengguna media sosial.

PDRM - Victor Chan
Kredit Gambar: Facebook

Ramai pengguna media sosial yang memuji tindakan PDRM yang melaksanakan pelbagai usaha membanteras pengguna jalan dan lebuh raya yang memandu melebihi had laju, terutama pada musim perayaan.

3) Baru-baru ini, seorang netizen, Jezabelle Loraine Langsing memuji sikap ramah mesra pegawai polis ketika dia pergi ke balai polis untuk membuat laporan.

Selepas begnya diragut di kompleks beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur, Jezabelle bersama bayinya pergi ke balai polis untuk membuat laporan.

Menurut Jezabelle, anggota polis bertugas menangani situasi dengan baik dan turut menjaga bayinya ketika dia masih panik dan trauma. Dalam kejadian tersebut, penjenayah telah dikesan melalui aplikasi pengesan iPhone yang diaktifkan suami mangsa, manakala polis tiba dengan pantas untuk menangkap si penjenayah.

Facebook Jezabelle Loraine
Kredit Gambar: Facebook


4) November lalu, sebuah rakaman video kamera GoPro yang menunjukkan seorang polis trafik sedang bertugas pada Sidang Kemuncak Asean Ke-27 ketika hujan menjadi viral di media sosial.

Video bertajuk “Kuda Putih Dalam Hujan” dimuat naik menerusi Facebook Friends of PDRM dan ditonton lebih dari 74,645 kali.

Rakyat memuji sikap tanggungjawab yang ditunjukkan oleh polis itu serta menghargai pergorbanan yang dilakukan demi kesejahteraan negara




Kesimpulan

Jadi, adakah media sosial boleh mempengaruhi kita?

Ya, media sosial sebenarnya boleh memberi manfaat kepada pengguna jika ia digunakan dengan cara yang betul.

Ia boleh berfungsi sebagai satu platform untuk memberi kesedaran, menegakkan keadilan, memaparkan kejayaan seseorang serta membina sebuah komuniti yang lebih bermaklumat.

Namun, segala manfaat itu hanya boleh dicapai jika perkara yang dikongsi di media sosial mempunyai kesahihan dan tidak dieksploitasi dengan cara yang salah.

Ingat, siasat dahulu kesahihan sesuatu laporan sebelum menyebarkannya di laman sosial.