Portal berita itu melaporkan, kumpulan gabungan organisasi bukan kerajaan (NGO) Melayu yang diketuai Datuk Jamal Md Yunos tersebut memilih warna merah untuk dipakai pesertanya.
Menjawab mengenai rasional aksi ekstrem yang dipamerkan kepada umum di depan kompleks beli-belah Sogo pada Selasa, kumpulan tersebut berkata ia adalah sebagai persediaan mempertahankan diri sekiranya berlaku masalah antara mereka dan kumpulan Bersih 4.0 yang berpakaian kuning.
“Jika penganjur Bersih 4.0 mengotakan kata-kata mereka, untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 100,000 orang menyertai perhimpunan haram itu, maka, pihak berkuasa sudah tentu akan menghadapi masalah untuk memberi jaminan keselamatan kepada semua peserta kuning dan juga kami.
“Kami tidak akan memulakan sebarang keganasan tetapi sekiranya pasukan kuning berbuat demikian, maka, orang-orang kami yang berpakaian mereka berkemampuan mempertahankan diri masing-masing,” kata Jamal.
Aksi peserta kumpulan anti-Bersih di hadapan kompleks beli-belah Sogo pada Selasa. - Sumber YouTube
Kumpulan penyokong kerajaan itu akan berhimpun di sekitar Plaza Low Yat di Bukit Bintang pada jam 9 pagi Sabtu ini dan akan berarak ke Dataran Merdeka melalui Jalan Pudu pada 10 pagi.
Dalam demonstrasi pada Selasa yang disertai kira-kira 150 orang berbaju merah dengan tertera perkataan “Bersih 4 Keamanan”, beberapa lelaki menunjukkan kekuatan fizikal dengan membiarkan tubuh mereka dipukul dengan kayu selain memecahkan kepingan genting dengan kepala.
“Semua 30,000 penyokong sudah menandatangani borang persetujuan bahawa sebarang keganasan fizikal menimpa mereka, kami tidak akan bertanggungjawab, tetapi kami menyediakan insurans kemalangan untuk mereka,” kata Jamal seperti yang dipetik dari portal tersebut.
Bagaimanapaun, kata beliau, mereka bersedia mengundurkan diri daripada perhimpunan mereka sekiranya Bersih 4.0 juga berbuat demikian.
Perhimpunan Bersih 4.0 yang dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dijadual berlangsung selama 34 jam bermula 29 Ogos.