Pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) seiring dengan hasrat Pakatan Harapan (PH) untuk menggubal dasar dan agenda ekonomi baharu.

Menurut Mohamed Azmin, pelantikan beliau selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Dr Mahathir selaku Perdana Menteri, tidak bertentangan dengan manifesto PH yang memutuskan untuk tidak melantik individu politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ujar Mohamed Azmin, secara lazimnya, Perdana Menteri akan dilantik sebagai Pengerusi Khazanah kerana peranannya diperlukan bagi menjaga aset strategik negara milik syarikat pelaburan itu, selain lantikan itu adalah prerogatif Perdana Menteri.

BACA: 'Tak salah untuk lantik Tun M, Azmin dalam Khazanah' - Wan Azizah

"Penubuhan Khazanah agak unik, iaitu untuk menguasai aset strategik negara, maka peranan Perdana Menteri untuk pastikan aset ini tidak terlepas kepada pihak lain sudah tentu diperlukan.

"Perdana Menteri selaku Pengerusi akan memberi arahan dan hala tuju baharu yang perlu dilakukan Khazanah.

"Manakala keputusan melantik saya mewakili Kementerian Hal Ehwal Ekonomi adalah untuk memberi tumpuan tentang agenda ekonomi baharu yang akan diterajui kerajaan baharu ini," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.


Mohamed Azmin turut memberi jaminan, Dr Mahathir dan dirinya tidak akan terbabit dalam pengurusan kewangan dan pentadbiran Khazanah, sebaliknya ia akan diurus kumpulan profesional.

"Pengurusan Khazanah akan tetap diuruskan golongan profesional, di mana Perdana Menteri sedang meneliti beberapa nama yang akan diumumkan dalam masa terdekat untuk pelantikan sebagai Pengarah Urusan dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pelantikan Dr Mahathir dan dirinya, masing-masing sebagai Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah.

BACA: Azmin, Hassan Marican, Sukhdave ahli lembaga pengarah Khazanah baharu

Ia susulan peletakan jawatan sembilan pengarah Khazanah termasuk Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Nor Md Yusof yang dilaporkan media, Khamis lalu.

Pelantikan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Timbalan Presiden PKR itu mendapat pelbagai reaksi, khususnya beberapa pihak yang mendakwa ia bertentangan dengan manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Dalam janji ke-22 dalam Buku Harapan, PH berjanji akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) nasional dan negeri adalah daripada kalangan golongan profesional dan bukan kaitan politik.