Ada pihak, khususnya dalam kalangan masyarakat Islam yang sudah lama tidak berpuas hati dengan bentuk yang sedia ada kerana kurangnya penekanan ajaran agama di dalam kurikulum.
Bagi mereka objektif pendidikan adalah untuk menjadikan pelajar menjadi orang yang bertakwa demi kejayaan di dunia dan di akhirat.
Bagi mereka kesedaran berkenaan Allah sebagai Tuhan yang mencipta alam semesta semasa mempelajari mata pelajaran sains dan lain-lain amat penting.
Di samping, itu kepatuhan pelajar kepada ajaran syariah dalam setiap aspek aktiviti di sekolah juga penting. Mereka juga mahukan pelajar-pelajar peka tentang keburukan amalan riba, keburukan LGBT, keburukan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.
Akhir sekali, konsep kejayaan yang sebenar dari aspek Islam juga ingin dimasukkan dalam sanubari pelajar supaya akan melahirkan insan kamil yang sangat memberi perhatian kepada aspek ukhrawi dan spiritual berbanding aspek duniawi dan kebendaan dalam kehidupan mereka.
Akibat daripada itu, ramai daripada golongan Islam telah membuat keputusan mengeluarkan anak-anak mereka dari sekolah kebangsaan dan menempatkan anak-anak mereka di dalam sistem pendidikan yang lebih menepati apa yang mereka ingini iaitu sistem pendidikan sekolah swasta yang menjadikan ajaran Islam sebagai asas utama proses pendidikan (seperti rangkaian sekolah Musleh, International Islamic School dll ).
Sudah tentu ini sangat membebankan dari segi kewangan kerana yurannya agak tinggi. Tambahan pula setakat ini masih tidak ada pengecualian cukai atau rebat di atas perbelanjaan tersebut.
Namun tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga golongan yang mempunyai tanggapan yang sebaliknya.
Golongan ini merasakan pada masa ini kurikulum serta aktiviti-aktiviti di sekolah kebangsaan mempunyai terlampau banyak kandungan Islam.
Golongan ini bukan sahaja terdiri daripada orang bukan Islam bahkan juga termasuk ibu bapa yang beragama Islam.
Tetapi mereka mempunyai kefahaman Islam yang berbeza atau lebih bersikap liberal. Oleh itu mereka mahukan kurikulum sedia ada diubah supaya kandungan Islam dikurangkan atau diminimakan.
Ada yang tidak sanggup menunggu dan telah pun menempatkan anak-anak mereka di sekolah swasta yang menepati aspirasi mereka.
Hakikatnya ialah pihak-pihak di atas berbeza pendapat kerana mereka mempunyai pandangan alam atau 'world view’ yang sangat berbeza.
Oleh itu apa yang mereka mahukan dari segi pendidikan untuk anak-anak mereka akan juga menjadi sangat berbeza.
Adalah amat sulit sebenarnya untuk mencari jalan tengah kepada persoalan ini kerana isu pendidikan bukan sesuatu isu yang remeh.
Isu pendidikan adalah isu pokok dalam masyarakat dan merangkumi banyak isu lain dan memainkan peranan penting dari segi mencorakkan masa depan pelajar.
Oleh itu tidak hairan lah kenapa konflik pendapat antara beberapa pihak - terutama antara kaum yang berbeza agama, dalam isu pendidikan adalah sentiasa berlarutan tanpa kesudahan.
Apa yang lebih malang ialah sikap beberapa pihak dalam mengutarakan pendapat masing-masing adalah kadang kala berbau perkauman serta menggunakan kata-kata yang menyakitkan hati masing-masing.
Pada pendapat saya, penyelesaian jangka panjang ialah dengan cara menyerahkan tanggungjawab pendidikan kepada ibu bapa dan komuniti masing-masing.
Dalam erti kata yang lain, kerajaan harus mengurangkan peranan dalam isu pendidikan dan menambahkan peranan dan tanggungjawab ibu bapa dan masyarakat secara langsung dalam aspek pendidikan.
Kaedah ini sebenarnya juga sudah pun berlaku di dalam sektor pendidikan, khasnya dalam sektor pendidikan swasta di mana terdapat berbagai pendekatan berkenaan pendidikan dilaksanakan di pelbagai sekolah.
Ibu bapa bebas memilih pendekatan mana yang menepati 'world view’ dan aspirasi mereka. Komuniti Islam yang mahukan proses pendidikan yang berasaskan ajaran Islam bertanggungjawab membangunkan sistem pendidikan mengikut acuan Islam, sementara yang bukan Islam atau yang berfikiran sekular dan liberal boleh bangunkan sistem mereka sendiri mengikut acuan mereka juga.
Dengan cara ini kita akan dapat mengurangkan konflik dan kebencian antara satu sama lain akibat perbedaan pendapat tentang isu corak dan kandungan pendidikan disekolah kebangsaan.
Langkah ini bukan sahaja boleh mengurangkan perbelanjaan kerajaan, bahkan akan mengurangkan konflik antara golongan masyarakat berkenana isu pendidikan.
Jika pendekatan ini juga dilaksanakan dalam bidang-bidang lain seperti budaya, sukan, kebajikan dan lain-lain, maka perbelanjaan kerajaan akan dapat dikurangkan.
Dengan itu kerajaan juga tidak lagi perlu mengutip cukai yang banyak, atau berhutang dari industri hutang atau riba untuk membiayai perbelanjaan kerajaan yang sangat tinggi sekarang dan berjumlah lebih dari tiga ratus bilion setiap tahun.
Sekarang ini hutang kerajaan banyak menguntungkan pemilik saham di dalam industri kewangan yang akan menjadi semakin kaya akibat keuntungan dari hutang berjumlah puluhan bilion yang diperlukan untuk membiayai sistem pendidikan kebangsaan sementara golongan bawahan semakin benci membenci antara satu sama lain kerana terus bertelagah tentang isu pendidikan ini - pertelagahan yang tidak berkesudahan.
Apabila skop aktiviti kerajaan dapat dikurangkan, maka peluang untuk ahli politik dan kakitangan menyalahguna kuasa dan melibatkan diri dalam aktiviti rasuah juga boleh dikurangkan.
Lagipun Menurut Prof Monzer Kahf (pakar ekonomi Islam) dalam penulisan beliau 'The Economic Role of the State in Islam', tanggungjawab pendidikan adalah sebenarnya memang menjadi tanggungjawab ibu bapa dan bukannya kerajaan (kecualilah jika kerajaan mempunyai dana yang berlebihan dari hasil mahsul negara).
Sebab itulah dalam sejarah Islam, terutama sekali di zaman Khilafah Abassiah, insititusi pendidikan tidak dibiayai oleh kerajaan tetapi dibiayai oleh masyarakat Islam sendiri dan biasanya melalui institusi Waqf.
Dengan cara itu institusi pendidikan pada masa itu tidak dipengaruhi oleh kerajaan dan berjaya menghasilkan ulamak yang berani mengkritik pemimpin yang tidak berlaku adil atau zalim.
Cara kita sekarang dimana institusi pendidikan adalah dibiayai oleh kerajaan adalah peninggalan sistem penjajah British dimana institusi Waqf tidak diberi keutamaan kerana asas masyarakat adalah sekular dan pemimpin tidak menjadi contoh dari segi sikap suka berderma secara ikhlas kerana mencari keredhaan Allah dan mengajak rakyat untuk melakukan aktiviti yang sama.
Ini cara yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat baginda dan oleh itu umat Islam yang awal amat suka menderma terutama dalam aspek kebajikan (seperti perkhidmatan pendidikan, kesihatan dan kebajikan).
Oleh itu Rasullullah SAW tidak perlu mengutip cukai dari rakyat dan hutang kerajaan hampir tidak wujud langsung.
Sebab itu ulama-ulama masyhur seperti Imam Mawardi dan Imam Nawawi sangat menentang langkah pemerintah mengutip cukai secara paksa dari rakyat dan juga tidak bersetuju dengan langkah kerajaan berhutang, apatah lagi jika dari sumber yang haram.
Malangya sekarang ini rakyat keberatan memberi derma dan institusi Waqaf juga sangat lemah. Ramai golongan rakyat sangat mengharapkan kepada kerajaan untuk segala perbelanjaan.
Apabila kerajaan kekurangan dana dan kutipan cukai tidak mencukupi, kerajaan masih mahu menjadi popular di kaca mata rakyat dan akan meminjam dari industri hutang dalam berjumlah ratusan bilion dan membayar bunga kepada pemiutang sebanyak puluhan bilion ringgit setahun.
Apabila jumlah hutang terlampau tinggi, maka kerajaan akhirnya masih perlu berusaha untuk mengutip cukai dengan cara yang lebih berkesan seperti GST atau mengenakan kadar cukai yang lebih tinggi atau menarik balik subsidi.
Apabila ini berlaku rakyat akan mula menjadi tidak puas hati dan marah. Protes akan kerap diadakan dan kerajaan sedia ada mungkin akan digantikan dengan kerajaan baru apabila pilihanraya diadakan.
Tetapi oleh kerana kaedah yang digunakan tidak berubah, maka masalah masih tidak dapat diselesaikan bahkan akan tetap berulang-ulang sementara hutang kerajaan semakin meningkat.
Yang akan menjadi lebih tertekan dan merana adalah generasi akan datang yang terpaksa menanggung hutang tersebut.
Sudah sampai masa untuk kita mencari kaedah yang berlainan untuk menyelesaikan masalah masyarakat dan langkah pertama ialah kurangkan pergantungan kita kepada kerajaan.
* Prof Nazari Ismail ialah mantan Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya. Beliau juga aktif menggerakkan usaha pemulauan dan sekatan (Boycott, Divestment, Sanctions – BDS) menentang kekejaman Zionis Israel terhadap rakyat.
** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.