Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memungut hasil berjumlah RM35.195 bilion tahun lepas, meningkat 5.8 peratus atau RM2.07 bilion berbanding tahun 2013, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad.

"Ini adalah angka tertinggi dalam sejarah Kastam. Ia hampir mencapai sasaran kita sebanyak 98 peratus bagi pungutan hasil tahun lalu," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Kastam Sedunia ke-33 di sini hari ini, yang dirasmikan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Mengenai kes rampasan, beliau berkata sebanyak 5,944 kes bernilai RM726 juta direkod tahun lepas, membabitkan cukai sebanyak RM437 juta.

"Bilangan kes rampasan telah menurun sebanyak 16 peratus berbanding tahun sebelumnya susulan peningkatan kecekapan Jabatan Kastam dalam aspek penguatkuasaan dan pematuhan," katanya.

Mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP), beliau berkata jumlah pendaftaran sehingga 21 Jan tahun ini adalah sebanyak 306,887 syarikat.

"Angka ini telah melebihi sasaran 300,000 pendaftaran. Ini merupakan satu kejayaan Jabatan Kastam," kata Khazali.

Pada majlis itu, Husni melancarkan Pelan Strategik JKDM 2015-2019 yang merupakan kesinambungan kepada pelan strategik lalu bagi memeta hala tuju, rangka dasar agenda pembangunan dan pemodenan pengurusan sistem penyampaian perkhidmatan.

Sambutan Hari Kastam Sedunia bertemakan Penyelarasan Pengurusan Sempadan: Pendekatan Inklusif Bagi Menghubungkan Pihak Berkepentingan.

Khazali berkata fokus tahun ini sempena sambutan diberikan kepada kawalan sempadan secara bersepadu antara agensi dalam dan luar negara bagi memperoleh kecekapan yang lebih besar berbanding kawalan secara bersendirian.

"Kerjasama antara agensi-agensi perlu dijalin secara inklusif bagi mengurangkan duplikasi atau pertindihan tugas, menjimatkan kos melalui ekonomi bidangan, meningkatkan kecekapan pengurusan risiko, mengurangkan kos pengangkutan dan meningkatkan kecekapan daam penyampaian perkhidmatan," katanya.

Sementara itu di KUCHING, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sarawak dilapor berjaya merampas barangan seludup bernilai RM371,761.47 dengan cukai berjumlah RM2,549.646.67 hasil perolehan 26 kes di seluruh negeri setakat ini bulan ini.

Manakala sepanjang tahun lalu, jabatan berkenaan membuat rampasan bernilai RM6,953,268.89 membabitkan cukai berjumlah RM8,870,939.11.

Pengarah JKDM Negeri, Datin Dayang Fatimah Johari dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media berkata dalam tempoh tersebut, bahagian penguatkuasa jabatan itu berjaya memperoleh 669 kes melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kastam 1967.

Beliau sebelum itu menyampaikan perutusan ketua pengarah JKDM dalam majlis sambutan Hari Kastam Sedunia di Wisma Kastam di sini.

Dayang Fatimah juga berkata operasi penguatkuasaan di sempadan kini dipergiatkan terutama menjelang musim perayaan bagi memastikan barangan larangan tidak dibawa masuk dan barangan bersubsidi seperti minyak masak, gula dan tong gas tidak diseludup keluar.

Beliau berkata pihaknya telah melancarkan Operasi Perayaan bagi tujuan itu selama sebulan mulai 19 Jan lalu.

Di KUALA LUMPUR, JKDM Kuala Lumpur menyasar pungutan hasil RM14 bilion tahun ini.

Pemangku Pengarahnya, Abd Gani Othman berkata separuh daripadanya dijangka diperoleh menerusi Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) mulai 1 April dan bakinya daripada duti import dan eksais termasuk bagi tembakau dan arak.

"Untuk 2015, kami diberi tugasan yang mencabar tetapi saya yakin dan kita akan cuba capai RM14 bilion jumlah kutipan tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Kastam Sedunia peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di sini hari ini.

Beliau berkata Kastam Kuala Lumpur tahun lepas mengutip hasil berjumlah RM11.8 bilion, kurang sedikit berbanding sasaran awal RM12.2 bilion.

Menurutnya, setakat 31 Dis 2014, kira-kira 60,000 syarikat di WPKL telah berdaftar untuk CBP yang diperkenal pada kadar enam peratus, melebihi sasaran asal 53,000 syarikat.

Abd Gani berkata antara persiapan JKDM WPKL menghadapi CBP ialah pewujudan unit khas untuk menangani sebarang penipuan susulan pelaksanaan CBP.

"Ia bakal merupakan cabaran besar buat kita terutama dari segi audit, yang kita perlu kukuh dari segi audit," katanya dan menambah JKDM WPKL telah menambah bilangan pegawai khusus untuk tugas pengauditan.

Di KUANTAN, JDKM Pahang menyasar kutipan cukai berjumlah RM1.162 bilion tahun ini ekoran peningkatan bilangan syarikat yang berdaftar untuk CBP.

Pengarahnya Datuk Sarip Ismail berkata setakat ini 10,730 syarikat telah mendaftar untuk pelaksanaan CBP melebihi sasaran awal 8,000 syarikat.

Menurutnya pihaknya optimis sasaran kutipan cukai boleh dicapai.

"Pada tahun 2014, Kastam Pahang menerusi Bahagian Pengurusan Pematuhan telah melakukan audit dan berjaya mengesan ketirisan dan memungut semula bayaran berjumlah RM30 juta.

"Malah kesilapan dalam pembayaran cukai juga dikesan berlaku pada syrikat-syarikat besar membabitkan bayaran cukai bernilai jutaan ringgit," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Kastam Sedunia peringkat negeri di Kompleks Perumahan Kastam Sultan Ahmad Shah di sini.

Beliau juga memberitahu tahun lalu, pihaknya berjaya memungut hasil sebanyak RM813.06 juta, kurang daripada sasaran yang ditetapkan iaitu RM860.05 juta.

"Pengurangan sebanyak enam peratus daripada sasaran yang ditetapkan adalah disebabkan pengurangan kutipan cukai eksais dan cukai jualan kenderaan tempatan yang dipasang di Pekan (dekat sini)," katanya.

Sarip berkata sepanjang tahun lalu, Kastam Pahang berjaya merampas barang seludup terutama rokok dan minuman keras bernilai RM3 juta.

Anugerah Pegawai Cemerlang 2014 untuk 10 kakitangan dan Anugerah Syarikat Swasta Berprestasi Tinggi kepada lima syarikat swasta turut diadakan di majlis itu.

Di KOTA BAHARU, KDRM Kelantan menyasar pungutan hasil cukai lebih RM303 juta tahun ini, kata Pengarahnya Datuk Abdullah Zawawi Abd Latiff.

Beliau berkata pungutan hasil thun lalu adalah sebanyak RM222 juta dan jumlah itu meningkat berbanding RM181 juta tahun sebelumnya.

"Sasaran ini kita mampu capai. Kita akan kutip cukai daripada syarikat-syarikat yang telah berdaftar di CBP, ini kerana cukai ini lebih meluas," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Kastam Sedunia di sini hari ini.

Abdullah Zawawi juga berkata sebanyak 628 kes penyeludupan melibatkan rokok, mercun dan beras yang nilai rampasan melebihi RM3 juta dilaporkan sepanjang tahun lepas dengan 88 kes telah didakwa di mahkamah.

Sementara itu beliau berkata sebanyak 93 buah syarikat dan pengimport di kesan melakukan penipuan cukai sepanjang tahun lepas.

"Tahun lepas kita audit 107 syarikat dan pengimport di Kelantan dan 93 buah melakukan penipuan cukai. Kita telah ambil tindakan sewajarnya bagi mendapatkan semula cukai terbabit," katanya.

Beliau berkata sehingga 31 Dis lepas, sebanyak 4,452 syarikat telah berdaftar di bawah sistem CBP.