Viral di media sosial baru-baru ini ialah, rakaman gambar bogel beberapa pelancong di sebuah pantai yang dipercayai Pulau Sibuan, di Semporna Sabah.

Menerusi beberapa gambar viral di Facebook, beberapa lelaki yang didakwa dari negara China bergambar bogel di tepi pantai, manakala beberapa wanita dilihat berada dalam keadaan separuh bogel.

Ketua Polis Daerah Superintendan Peter anak Umbuas dipetik berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung rakaman gambar tersebut dan mereka sedang menyiasat kesahihan gambar tersebut kerana ada juga yang menyatakan ia telah dirakam di luar negara.

“Siasatan awal mendedahkan gambar-gambar itu telah diambil di antara 2013 hingga dua minggu lalu dan gambar tersebut dipercayai diambil sebagai kenangan peribadi sahaja," menurut Peter yang dipetik Bernama.

Difahamkan, polis juga akan mendapatkan kerjasama pihak Taman-Taman Sabah (TTS) serta Interpol bagi mengesan identiti semua mereka yang terbabit.

Sementara itu, perbuatan itu nyata mengundang kemarahan penduduk Semporna serta rakyat Malaysia.

Kebanyakan mereka mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang tegas jika ia benar dirakam di Pulau Sibuan.









Pada 30 Mei lalu, kira-kira 10 pelancong Eropah berbogel dan bergambar di puncak Gunung Kinabalu hingga menimbulkan kemarahan penduduk negeri ini.

Empat daripada mereka kemudian ditahan dan dijatuhkan hukuman penjara tiga hari serta denda RM5000 setiap orang.