KUALA LUMPUR:Tindakan mewajibkan ciri-ciri keselamatan termasuk pemasangan loceng, lampu dan brek bukan hanya terpakai di Putrajaya, sebaliknya di seluruh negara.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, ia tertakluk di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Bagaimanapun, beliau berkata operasi ketika ini tertumpu di Putrajaya susulan insiden kemalangan maut dan jumlah penunggang basikal di kawasan tersebut. 

"Jadi di Kuala Lumpur, kita fokus dan ambil tindakan kepada e-skuter terlebih dahulu.

"Setakat ini, (operasi) basikal kita tidak ada lagi, kita akan buat operasi dari semasa ke semasa.

"Pelaksanaan undang-undang sama sahaja di seluruh Malaysia, ini bukan hanya di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Mengikut Seksyen 42, apabila anda naik basikal mesti lengkap iaitu mempunyai loceng, brek dan lampu. Selain itu, penunggang basikal dalam berkumpulan perlu mengayuh basikal dalam satu deretan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Zulkefly berkata, ketika ini Kuala Lumpur tidak merekodkan sebarang kes kematian melibatkan penunggang basikal.

Sebaliknya, kebanyakan kes yang dilaporkan adalah melibatkan pejalan kaki warga asing.

Bagaimanapun, Zulkefly berkata pihaknya telahpun mengambil tindakan dengan mengenakan kompaun sebanyak RM300 kepada penunggang basikal yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Tindakan juga boleh diambil mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM2,000.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penunggang basikal supaya mengutamakan keselamatan diri semasa berada di jalan raya.

Terdahulu, polis Putrajaya memaklumkan akan mengambil tindakan terhadap penunggang basikal yang gagal mematuhi ciri-ciri keselamatan bermula 9 Januari ini.