Nyanyian lagu 'Negaraku' dan laungan Merdeka mengakhiri perhimpunan yang dikategorikan haram oleh kerajaan itu.
Menurut polis, sebanyak 27 laporan diterima. Bagaimanapun perhimpunan dua hari itu tidak dicemari sebarang kekecohan.
Ia juga mengakhiri pendudukan sekitar Dataran Merdeka sejak malam Sabtu oleh penyokong Bersih 4.
Pengisian acara mereka menjelang jam 12 tengah malam ambang Merdeka tadi adalah acara mendengar ucapan-ucapan pemimpin dan pengerusi perhimpunan.
Pada petang Ahad, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hadir di hentian pertemuan peserta perhimpunan Bersih 4 di Pasar Seni sekali lagi mencuri perhatian orang ramai.
Sementara itu, sambutan ambang Merdeka yang dijadualkan berlangsung malam ini di Dataran Merdeka dipindahkan ke Stadium Bukit Jalil.
HARI KEDUA - AHAD (30 OGOS 2015)
12 malam, Dataran Merdeka:
9.16 malam, Dataran Merdeka:
Wartawan Hilal Azmi merakamkan video pendek tentang suasana di sekitar Dataran Merdeka. Difahamkan pada malam ini antara yang menjadi pengisian acara adalah ucapan daripada pemimpin perhimpunan dan ucapan penutup oleh Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan nyanyian lagu Negaraku.
9 malam, Datatan Merdeka:
Kawalan anggota keselamatan dipertingkat di zon hadangan sekitar Dataran Merdeka.
7.44 malam, Dataran Merdeka:
Bilangan anggota polis di Dataran Merdeka bertambah bagi memastikan hal ehwal keselamatan di sekitar kawasan yang bakal digunakan untuk sambutan ulang tahun kemerdekaan negara berjalan dengan selamat dan lancar.
7.30 malam, Klang:
Sebuah badan bukan kerajaan hari ini membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas tindakannya menghadiri perhimpunan Bersih 4 di Dataran Merdeka semalam. Laporan itu dibuat Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini. KLIK DI SINI UNTUK BERITA PENUH
7 malam, Sepanggar:
Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bertindak di luar batasan apabila menghadirkan diri pada perhimpunan Bersih semalam, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, hari ini.
Beliau berkata, tindakan bekas perdana menteri itu tidak mencerminkan gesaannya pada 1998 untuk tidak menyokong demonstrasi jalanan. KLIK DI SINI UNTUK BERITA PENUH
6.30 petang, Melaka:
Polis Melaka menahan seramai 12 orang di negeri ini kerana didapati memakai kemeja-T kuning bercetak perkataan 'Bersih 4' yang dilarang mengikut Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No 22) 2015.
Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata seramai sembilan orang telah ditahan ketika menyertai perhimpunan Bersih 4 yang dihadiri kira-kira 100 orang di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir di sini pada pukul 10.30 malam tadi. KLIK DI SINI UNTUK BERITA PENUH
6 petang, Jalan Tun Perak:
Peserta Bersih 4 akur dengan nasihat supaya tidak menggunakan vuvuzela dalam perhimpunan kerana kesan bunyinya yang bising. Pada masa yang sama, peserta sentiasa diberi peringatan agar menjaga aspek kebersihan.
5.30 petang, Pasar Seni:
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau hadir ke perhimpunan Bersih 4 yang diharamkan di Kuala Lumpur bukan sebagai satu manifestasi menolak Barisan Nasional.
Kata Dr Mahathir, kehadiran beliau tiada kena mengena dengan menyokong sesiapa atau menyebelahi mana-mana kaum tetapi kerana menegakkan keluhuran undang-undang. Beliau bercakap kepada wartawan bagi menjelaskan tujuannya menunjukkan diri di tengah-tengah kehangatan perhimpunan Bersih 4. KLIK DI SINI UNTUK BERITA PENUH
[VIDEO] Tun Dr Mahathir meluangkan masa untuk 'bersiar-siar' di Pasar Seni di sini sekali gus meninjau perhimpunan Bersih 4 yang sedang berlangsung.
5.20 petang, Pasar Seni:
Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali petang tadi meluangkan masa untuk 'bersiar-siar' di Pasar Seni di sini bagi meninjau perhimpunan Bersih 4 yang sedang berlangsung.
Ini merupakan hari kedua pasangan itu 'berjalan-jalan' di sekitar ibu negara sempena perhimpunan yang dikategorikan sebagai haram itu. Bekas Perdana Menteri itu terdahulu menaiki komuter dari satu lokasi di ibu negara, sebelum turun di stesen Kuala Lumpur dan menuju ke Pasar Seni. KLIK DI SINI UNTUK BERITA PENUH
Kehadiran Tun Dr Mahathir di Pasar Seni menjadi tumpuan orang ramai yang berasak-asak mahu mendekati beliau. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Kunjungan singkat beliau di lokasi yang sedang panas dengan semangat peserta perhimpunan Bersih 4 meninggalkan pelbagai impak dalam tanggapan umum.
5 petang, Pasar Seni:
Tun Dr Mahathir Mohamad berucap di hadapan orang ramai. Beliau menyentuh mengenai hak rakyat untuk bersuara dan juga mengulas mengenai penglibatannya dalam perhimpunan.
4.30 petang, Pasar Seni:
Kehadiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di hentian pertemuan peserta Bersih 4 di Pasar Seni sekali lagi mencuri perhatian.
Beliau sebelum itu dilaporkan memasuki pusat bandar raya dengan menaiki laluan komuter dengan pergerakannya menjadi viral di media sosial. Turut kelihatan bersama beliau ialah peguam yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim.
4.30 petang, Ipoh:
Penganjur dan peserta perhimpunan Bersih 4 yang diharamkan akan dikenakan tindakan mengikut pelbagai peruntukan undang-undang sedia ada, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Menurut beliau, selepas ini tiada lagi amaran dan tindakan diambil walaupun selepas perhimpunan tamat. KLIK DI SINI UNTUK BERITA PENUH
4 petang, Dataran Merdeka:
Biarpun dalam hujan lebat, anggota keselamatan tetap bertugas bagi memastikan keadaan terkawal.
3.35 petang, Kuala Lumpur:
Hujan turun dengan lebat di sekitar Kuala Lumpur dan ini membuatkan sebahagian peserta perhimpunan Bersih 4 terpaksa mencari tempat berteduh. Sementara itu, sebahagian lagi peserta tidak menghiraukan cuaca dan terus berada di tempat terbuka.
3.15 petang, Dataran Merdeka:
Bersih 2.0 telah melabelkan insiden keracunan makanan pesertanya sebagai suatu tindakan sabotaj dan cubaan untuk meracuni pesertanya. Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah berkata gabungan itu mengutuk perbuatan yang merbahaya di mana minuman kotak yang diedarkan kepada orang ramai semasaperhimpunan itu di bawah nama "Sokongan untuk Bersih " telah tercemar. KLIK DI SINI UNTUK BERITA PENUH
3 petang, Jalan Tun Perak:
Sekumpulan peserta Bersih 4 yang menggunakan kerusi roda menerima sorakan ramai sewaktu mereka bergerak ke pusat perhimpunan.
2.50 petang, Dataran Merdeka:
Sambutan ambang Merdeka yang dijadualkan berlangsung malam ini di Dataran Merdeka dipindahkan ke Stadium Bukit Jalil.
2 petang, Dataran Merdeka:
Liputan perkembangan terkini di lokasi perhimpunan Bersih 4 disampaikan wartawan Ashraf Hasnan.
1 petang, Dataran Merdeka:
Wartawan Mariah Ahmad melaporkan situasi semasa dari lokasi perhimpunan Bersih 4 untuk Buletin AWANI.
1 petang, Kuala Nerus:
Sementara itu di Kuala Nerus, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoal kemampuan penganjur dan peserta perhimpunan yang diharamkan, Bersih 4, untuk membangunkan kawasan luar bandar. Di hadapan hadirin majlis Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2015 itu, Perdana Menteri turut mengingatkan agar rakyat berterima kasih kepada kerajaan yang membangunkan negara selama ini.
12 tengah hari, Kuching:
Perhimpunan Bersih 4 yang diadakan di padang Song Kheng Hai, di sini sejak semalam terpaksa dihentikan serta merta tengah malam tadi atas alasan ketiadaan sistem bunyi, kata Pengerusi Bersih 4 Kuching, Nicholas Mujah.
Nicholas berkata perhimpunan itu terpaksa dihentikan setelah alatan sistem bunyi yang disewa pihak mereka telah diambil semula oleh pemiliknya tanpa sebarang notis selepas tamat sesi perhimpunan pada sebelah siang. KLIK DI SINI UNTUK BERITA PENUH
11.48 pagi, Dataran Merdeka:
Pengerusi GHB Wilayah Persekutuan Dr Hatta Ramli berkata klimaks perhimpunan tersebut akan sampai ke kemuncaknya pada tengah malam Ahad. Beliau juga menyeru lebih ramai orang untuk turut serta dalam perhimpunan.
Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli hari ini mempersoal tindakan provokosi sesebuah pihak yang menyifatkan perhimpunan Bersih 4 tidak berjaya berikutan kurang sambutan dan penyertaan daripada masyarakat Melayu. KLIK DI SINI UNTUK BERITA PENUH
11.39 pagi, Dataran Merdeka:
Bunyi bingit vuvuzela masih kedengaran pada hari kedua perhimpunan Bersih 4 namun tidak sebising hari pertama.
11.33 pagi, Dataran Merdeka:
Anggota polis masih berkawal di sekitar Dataran Merdeka untuk berdepan sebarang kemungkinan.
11.25 pagi, Kuching:
Ketua Polis Kuching ACP Roslan Bek Ahmad memberitahu sebanyak empat laporan polis telah dibuat berkaitan perhimpunan Bersih 4.
11 pagi, Kuala Lumpur:
Perhimpunan Bersih 4 memasuki hari kedua hari ini, dan terdapat desas-desus bahawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang membuat kehadiran mengejut di Dataran Merdeka malam semalam, akan sekali lagi hadir petang ini.
Sumber yang rapat dengan beliau berkata sekiranya Dr Mahathir beliau berbuat demikian, ia adalah sesuatu yang tidak dirancang seperti kejutan yang dilakukannya malam tadi. KLIK DI SINI UNTUK BERITA PENUH
10.47 pagi, Dataran Merdeka:
Peserta Bersih 4 dilihat bergembira sesama sendiri diiringi persembahan muzik.
10.37 pagi, Dataran Merdeka:
Situasi di hadapan Panggung Bandaraya dilaporkan tenang.
10.21 pagi, Dataran Merdeka:
Ramai peserta yang sudah pulang ke rumah, kembali semula untuk menyertai perhimpunan itu pada hari ini.
Perjalanan perhimpunan Bersih 4 yang bermula pada Sabtu (29 Ogos) mendapat liputan muka depan pelbagai akhbar di negara ini dan berikut adalah antara yang sempat dirakamkan:
9.28 pagi, Dataran Merdeka
Penganjur memaklum peserta di sini perhimpunan akan diteruskan lagi dalam masa 13 jam sehingga ia tamat pada tengah malam Ahad.
8.51 pagi, Kuching
Koresponden Astro AWANI di Kuching, Noraida Abdul Kassim melaporkan keadaan di tapak perhimpunan di Padang Song Kheng Hai masih lengang ketika ini. Peserta masih lagi dalam perjalanan untuk menyertai demonstrasi tersebut.
8.25 pagi, Dataran Merdeka
Walaupun tiada raptai Hari Kebangsaan ke-58 dijadualkan pada hari ini, pihak polis masih mengawal ketat sekitar kawasan ini untuk mengelakkan dari berlaku apa-apa insiden yang tidak diingini.
8.22 pagi, Dataran Merdeka
Bilangan peserta semakin bertambah dan penganjur Bersih 4 memberi pengesahan aktiviti-aktiviti bakal berlangsung seawal 11 pagi ini.
8.08 pagi, Dataran Merdeka
Pagi yang bersemangat buat sebahagian peserta-peserta perhimpunan yang rata-rata memakai T-shirt berwarna kuning sebagai tanda solidariti.
7.53 pagi, Dataran Merdeka
Peserta sudah mula membanjiri kawasan Dataran Merdeka untuk aktiviti perhimpunan yang seterusnya. Wartawan Astro AWANI, Israr Khalid berada di lokasi.
HARI PERTAMA - SABTU (29 OGOS 2015)
11:47 malam, Dataran Merdeka:
Kehadiran Penasihat DAP Lim Kit Siang disambut peserta perhimpunan.
10.00 malam, Kuching:
Perhimpunan bersih 4.0 yang berlangsung di bandaraya Kuching diteruskan dengan aktiviti pada sebelah malamnya bermula jam 8 malam Sabtu.
Berkumpul di padang Song Kheng Hai, Padungan, antara aktiviti yang disediakan oleh penganjur pada sebelah malamnya adalah ceramah oleh wakil-wakil rakyat dari parti DAP dan PKR, disamping aktiviti membakar lilin yang antaranya memaparkan ayat #BERSIH4KCH dan lain lain lagi.
Dengan keadaaan cuaca yang agak baik pada sebelah malam, perhimpunan berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Pasukan anggota polis juga dilihat berterusan menjalankan tugas masing-masing bagi mengawal keadaan dari berlakunya kejadian yang tidak diingini.
Selain itu, jalan-jalan raya yang ditutup pada sebelah siangnya juga telah dibuka untuk laluan orang awam dan aliran trafik juga berjalan lancar, namun tetap dibawah pengawasan pihak polis.
Dalam pada itu, ada juga ibu bapa yang hadir enggan mematuhi syarat supaya tidak membawa kanak-kanak semasa perhimpunan berlangsung, meskipun telah diberi arahan.
Berdasarkan tinjauan Astro AWANI, ibu bapa tersebut tetap membawa anak-anak mereka hadir ke tapak perhimpunan berkenaan.
9.45 malam, Dataran Merdeka:
Aktivis pelajar, Adam Adli Abd Halim adakan sesi nyanyian bersama peserta Bersih 4.
9:21 malam, Jalan Tun Perak:
Peserta perhimpunan dilihat sudah mula bermalam. Tinjauan wartawan Astro AWANI di persekitaran LRT Masjid Jamek
8 malam, Dataran Merdeka:
Wartawan Astro AWANI Hilal Azmi melaporkan dari pekarangan Dataran Merdeka mengenai gambaran umum serta rumusan tentang perhimpunan yang berlangsung di ibu negara hari ini.
8 malam, Jalan Raja:
Keadaan kembali reda selepas kepulangan Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah. Wartawan Astro AWANI difahamkan terdapat tiga buah lori akan dibawa ke pusat perhimpunan Bersih 4 yang akan digunakan sebagai pentas bagi kegunaan pemimpin tertinggi Bersih 2.0. Dipercayai terdapat beberapa acara bakal diadakan untuk pengisian sebelah malam.
7.15 malam, Jalan Raja:
Peserta Bersih 4 teruja apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri hadir ke lokasi perhimpunan. Orang ramai mula bersorak dan cuba mendekati untuk menyapa, bersalam dan mengambil gambar beliau.
Beliau bagaimanapun memakai pakaian biasa dan tidak tertera sebarang kempen Bersih 4. Apabila ditanya para wartawan di lokasi, tentang tujuan beliau berada di situ, Mahathir hanya menjawab beliau hanya datang untuk melihat keadaan.
Beliau kemudiannya dilihat bergerak menuju kawasan berdekatan Bank Negara untuk berundur dari khalayak berikutan berlaku asakan dan rempuhan.
Sekitar jam 7.45 malam, Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah meninggalkan lokasi perhimpunan.
6 petang, Kuala Lumpur:
Beberapa kumpulan kecil peserta Bersih 4 sudah mula bersurai dari lokasi perhimpunan. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa memberitahu Astro AWANI bahawa tiada sebarang tangkapan dibuat dan keadaan secara keseluruhannya terkawal.
6 petang, Menara DBKL:
Terdapat beberapa kumpulan kecil peserta Bersih 4 meninggalkan tempat perhimpunan. Gambar-gambar ini dirakam dari tingkat 29 Menara DBKL.
5.57 petang, Menara DBKL:
Wartawan Astro AWANI Mariah Ahmad merakamkan gambar lokasi perhimpunan Bersih dari tingkat 29 Menara DBKL.
5.30 petang, Jalan Tun Perak:
Wartawan Astro AWANI di lokasi Sathesh Raj merakamkan video menunjukkan kesesakan di sepanjang Jalan Tun Perak dan sekitar Pudu Sentral sudah berkurangan dan kenderaan kini boleh menggunakan laluan itu dengan lebih lancar.
5 petang, Jalan Raja:
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan di hadapan kumpulan peserta perhimpunan Bersih 4.
4.50 petang, Jalan Raja:
Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan perhimpunan Bersih 4 di ibu negara sebagai perhimpunan untuk "selamatkan Malaysia". Menurutnya, Malaysia sedang tenat dan perhimpunan hari ini (adalah) untuk menyelamatkan negara.
4.40 petang, Persimpangan Jalan Raja:
Peserta perhimpunan diminta duduk bagi memberi laluan kepada pasukan perubatan memberi bantuan kecemasan kepada individu yang mengalami komplikasi jantung.
4.25 petang, Persimpangan Jalan Raja:
Peserta perhimpunan Bersih 4 duduk beramai-ramai di Jalan Raja antara Dataran Merdeka dan Menara DBKL. Di lokasi tersebut beberapa pemimpin daripada jawatankuasa Bersih 2.0 dan pemimpin pembangkang memberi ucapan.
4.15 petang, Pasir Puteh:
Perhimpunan haram Bersih 4 hanya akan menyebabkan semua rakyat menanggung akibat. Ujar Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, impak utamanya adalah kepada ekonomi terutama ketika pasaran dunia dalam persekitaran yang sensitif. Menurutnya, ketidakstabilan domestik bakal memberi imej negatif kepada negara dalam pasaran global.
4.10 petang, Kuala Nerang:
Warga pendidik yang dikesan terbabit dalam aktiviti menyalahi undang-undang termasuk perhimpunan haram, perlu menanggung sendiri akibat perbuatan itu. Ketegasan itu disuarakan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menarik perhatian bahawa perbuatan itu jelas terbukti menyalahi etika penjawat awam. Mengulas pembabitan golongan pendidik khususnya guru dalam perhimpunan Bersih 4, beliau berkata, mereka kemungkinan besar dikenakan tindakan.
4 petang, Jalan Raja:
Ahli Parlimen Batu Tian Chua meminta peserta perhimpunan Bersih 4 bertahan sehingga 34 jam.
3.50 petang, Kuala Lumpur:
Kementerian Luar akan mengumpul maklumat rakyat Malaysia yang terlibat dengan perhimpunan haram Bersih 4 di luar negara untuk tindakan undang-undang ke atas mereka selepas itu, kata Timbalan Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
3.30 petang, Jalan Tun Perak:
Suasana hingar-bingar di sekitar Jalan Tun Perak berikutan peserta perhimpunan yang teruja meniup vuvuzela dan bersorak.
3.15 petang, Pudu Sentral:
Peserta Bersih 4 dari Pudu Sentral berduyun-duyun bergerak ke Jalan Tun Perak.
3 petang, Jalan Tun Perak:
Peserta Bersih 4 berhimpun di Jalan Tun Perak sambil mendengar ucapan daripada Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Maria Chin Abdullah.
3 petang, Padang Song Kheng Hai:
Peserta Bersih 4 di Kuching berkumpul di lokasi pertemuan dalam bilangan yang bertambah namun masih dalam keadaan tenang dan terkawal.
2.45 petang, Pasir Mas:
Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengutuk perhimpunan haram Bersih 4 di ibu negara hari ini dan esok kerana ia boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan keamanan negara, kata Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed.
2.44 petang, Kota Kinabalu:
Para penyokong Bersih 4 di Kota Kinabalu bergerak dari Likas Square ke lokasi perhimpunan di Tanjung Lipat.
2.35 petang, Kuala Lumpur:
Keadaan semasa perhimpunan Bersih 4 dari sudut pandangan tinggi di Menara DBKL. Wartawan Astro AWANI Mariah Ahmad melaporkan situasi lalu lintas.
GALERI FOTO: Suasana sekitar perhimpunan Bersih 4
2.25 petang, Pudu Sentral:
Lokasi sekitar Pudu Sentral merupakan antara hentian pertemuan yang popular bagi kelompok peserta Bersih 4. Cuaca sekarang ini di Kuala Lumpur agak mendung dan hujan gerimis mula turun.
2 petang, Kompleks Sogo:
Peserta Perhimpunan Bersih 4.0 memenuhi perkarangan kompleks beli belah Sogo di ibu negara. Ikuti laporan langsung bersama wartawan Astro AWANI Ashraf Hasnan di lokasi.
2 petang, Pasar Seni:
Perkembangan Himpunan Bersih di Pasar Seni terkawal dengan kehadiran pihak berkuasa yang sudah berada di lokasi tersebut sejak awal pagi. Ikuti laporan daripada wartawan Astro AWANI di lokasi, Hafiz Marzukhi.
1.58 petang, Kota Kinabalu:
Kira-kira 200 penyokong perhimpunan Bersih 4 kini bergabung di Pusat Perdagangan Sabah (STC).
1.10 petang, Stesen LRT Plaza Rakyat:
Penyokong Bersih 4 yang memakai baju-T kuning dari aliran Ampang dan Sri Petaling dilihat memenuhi koc-koc LRT dalam laluan menuju ke pusat bandar raya. Keadaan kesesakan masih terkawal.
1.18 petang, Pekarangan Sogo:
Kumpulan peserta perhimpunan Bersih 4 akan bergerak ke Dataran Merdeka pada jam 3.30pm.
1.12 petang, Masjid Jamek:
Peserta perhimpunan mula berarak dari Masjid Jamek ke Jalan Raja berdekatan Dataran Merdeka.
1.06 petang, Dataran Merdeka:
Pasukan keselamatan bersedia di jalan berhadapan Dataran Merdeka.
1 petang, Pekarangan Sogo:
Polis meningkatkan kawalan keselamatan di hadapan pusat beli-belah Sogo.
12.55 tengah hari, Dataran Merdeka:
Beberapa peserta perhimpunan dilihat mendekati pagar penghadang yang dipasang pihak berkuasa.
12.50 tengah hari, Dataran Merdeka:
Pemandangan dari atas sekitar kawasan Dataran Merdeka.
12.46 tengah hari, Jalan Raja Laut:
Rakaman keadaan trafik yang kelihatan masih lancar di sini serta di Jalan Kuching Selatan.
12.44 tengah hari, Dataran Merdeka:
Video keadaan trafik di sekitar lokasi yang dilapor masih lancar.
12.34 tengah hari, Dataran Merdeka:
Penghadang jalan turut dipasang di sini dari arah Masjid Negara.
12.31 tengah hari, Lebuh Pasar Besar:
Pihak berkuasa telah memasang penghadang besi di lokasi sekitar Lebuh Pasar Besar.
12.30 tengah hari, Jerantut:
Penganjur dan peserta perhimpunan haram Bersih 4 "cetek dan miskin" semangat patriotik, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri berkata walaupun berbeza fahaman politik, mereka sepatutnya menghayati Hari Kebangsaan yang akan disambut Isnin ini dengan mengibar Jalur Gemilang sebagai menghargai jasa pejuang negara yang membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah.
12.20 tengah hari, Dataran Merdeka:
Barisan anggota pasukan keselamatan bergerak ke lokasi bagi mempertingkatkan tahap keselamatan di sekitar kawasan ini.
12.13 tengah hari, Masjid Jamek:
Suasana di sekitar Jalan Tun Perak yang berjaya dirakam wartawan Astro AWANI Mariah Ahmad.
12.02 tengah hari, Pekarangan Sogo:
Setiausaha agung PKR Rafizi Ramli tiba dan menyertai peserta perhimpunan Bersih di hadapan pusat beli-belah Sogo.
11.58 pagi, Kuching:
Anggota polis trafik sedang mengawal lalu lintas di Jalan Main Bazaar.
11.53 pagi, Kuching:
Persiapan sebelum perhimpunan bermula petang ini.
11.51 pagi, Pekarangan Sogo:
Suasana kelihatan masih terkawal di hadapan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
10.52 pagi, Jalan Tuanku Abdul Rahman:
Restoran Insaf di Jalan Tuanku Abdul Rahman menafikan khabar an