Aktivitis Syed Azmi Alhabshi enggan mengulas lanjut berhubung laporan polis terhadap dirinya oleh penceramah terkenal, Datuk Kazim Elias hari ini sehingga dapat meneliti kandungan laporan itu.

"Saya tidak mengetahui lagi mengenai perkara ini. Saya belum mendapat laporan lagi mengenai perkara ini. Saya akan membuat kenyataan selepas meneliti perkara ini," katanya secara ringkas ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Kazim yang membuat laporan polis terhadap beliau kerana didakwa membuat komen yang berunsur fitnah sehingga menjejaskan reputasinya sebagai seorang penceramah agama terkenal tanah air.

BACA: Saya sanggup serah sesiapa sahaja, termasuk darah daging sendiri - Ustaz Kazim

BACA: Saya tiada agenda, hanya mahu lindungi kanak-kanak - Syed Azmi

BACA: Syed Azmi dedah dakwaan cabul pelajar tahfiz: 'Cium Abi sebelum tidur'

Selain Syed Azmi, Kazim juga membuat laporan polis terhadap personaliti Wardina Safiyah kerana merasakan komen-komen negatif yang dilakukan kedua-dua individu tersebut di media sosial, sangat memalukannya.


Video: "Serah sesiapa sahaja yang terlibat"

Untuk itu katanya satu tindakan perlu diambil bagi membersihkan namanya dan nama sekolahnya Maahad Tahfiz Darul Barakah.

Baru-baru ini, tersebar di laman sosial mengenai beberapa pelajar baharu di maahad tahfiz berkenaan yang dikatakan dicabul selain didakwa berlaku kejadian seks luar tabii.

Susulan itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan berhubung dakwaan pencabulan seksual di sekolah itu.