Aktiviti manusia mengasak sistem semula jadi planet yang menyokong kehidupan di bumi hingga ke tepian, demikian Living Planet Report WWF 2018 mendedahkan.

Ia juga memaparkan gambaran menyedihkan daripada impak aktiviti manusia terhadap hidupan liar, hutan, lautan, sungai dan iklim, oleh itu ia mendesak komuniti global agar memikirkan kembali secara bersama dan menilai semula cara kita menghargai, melindungi dan memulihkan alam semula jadi.

"Kita mengeluarkan dari 'akaun simpanan' sumber asli kita dengan begitu rakus, hingga tinggal sedikit saja untuk diwariskan kepada kehidupan generasi akan datang.

"Penghapusan ikan di laut, iklim yang berubah, hutan kita yang hambar semua itu adalah simptom," kata Pengarah Konservasi WWF-Malaysia Dr Henry Chan dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut Chan, laporan terbaru menunjukkan kemerosotan populasi global ikan, burung, mammalia, amfibia, reptilia, secara purata sebanyak 60 peratus antara 1970 dan 2014, di mana ancaman utama terhadap spesies yang dikenal pasti dalam laporan itu berkait langsung dengan aktiviti manusia, termasuk kehilangan habitat dan kerosakan serta eksploitasi hidupan liar secara berlebihan.

Di Malaysia, penyu laut menghadapi ancaman terhadap survivalnya, badak Sumatra semakin pupus, dan spesies seperti harimau Malaya, rusa sambar dan gaur dalam bahaya.

Laporan itu juga melihat kepada pentingnya pollinator (haiwan pengangkut dan pencantum debunga) dan bagaimana iklim yang berubah, amalan pertanian intensif, spesies penawan, dan kemunculan penyakit telah menjejas hasil, diversiti dan kesihatan mereka.

"Di kawasan tropika, kebergantungan kita pada pollinator adalah sebanyak 98 peratus bagi pengeluaran buah-buahan, oleh itu, Malaysia wajar bimbang.

"Sebagai sebuah negara, kita perlu mengamalkan pengeluaran dan konsumsi komoditi secara bertanggungjawab," katanya.

Chan juga menyarankan keperluan pensijilan wajib bagi pengeluaran minyak sawit di Malaysia diperluaskan kepada pengeluaran makanan laut, ikan, dan udang bagi menghalang kehidupan marin dari terus merosot.

-- BERNAMA