Menurut Noor Shafry Abdul Malik, 48, sebaliknya permintaan terhadap lemang periuk kera jualannya bertambah dua kali ganda.
Noor Shafry telah menjual sajian lemang periuk kera lebih 15 tahun lalu. Sepanjang menjalankan perniagaan itu, tiada seorang pun pelanggannya mengadu sakit atau keracunan akibat makanan yang dihasilkannya.
Malah, katanya, selepas isu ini yang dibangkitkan aktivis alam sekitar menjadi viral, makanan itu terus menjadi pilihan pelanggan yang mahu mencuba.
BACA: Lemang periuk kera timbulkan keresahan pencinta alam
BACA: Hentikan jualan lemang periuk kera - Maya Karin
BACA: Waspada juadah eksotik Aidilfitri
"Setakat ini tiada yang cancel order. Malah, pelanggan saya makin bertambah.
"Saya tolak banyak (tempahan) sebab saya nak jaga kualiti. Kalau tambah, saya akan terima 100,000. Maknanya, saya akan hadkan, saya tak lebihkan," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Mengulas lanjut, dia hanya menggunakan sejenis periuk kera untuk membuat lemang, iaitu spesis Nepenthes Ampullaria.
Malah katanya, isu kepupusan periuk kera tidak timbul jika pengambilan tumbuhan itu dibuat dengan cara yang betul.
"Bagi yang baharu nak mencuba (berniaga), memang dari keuntungan itu menyebabkan mereka jadi agresif untuk menjual.
"Kami mendapatkan periuk kera ini dari ladang kelapa sawit, kebun getah dan tepi lebuh raya. Memang ia tidak dikawal dan tumbuh merata-rata.
"Salahnya adalah pembekal yang mencari periuk kera. Ada tempat banyak periuk kera seperti taman negeri, hutan simpan dan taman rekreasi.
"Pergilah ke kawasan yang tak timbul isu kesalahan untuk dapatkan bekalan. Jangan menceroboh, atau memetik tanaman yang ada dalam kawasan pemeliharaan," ujar beliau.
Pada masa sama, dia kecewa apabila isu periuk kera menjadi tandas kelawar dan tupai sengaja dipolemikkan.
"Kalau kelawar, tupai, tiada sebab dia nak berak dalam tu. Habis tu, kopi najis musang (kopi luwak) boleh pula minum," katanya lagi.
Periuk kera yang diperoleh daripada pembekal akan direndam selama dua jam bagi memastikan tumbuhan itu bersih daripada kotoran habuk, kayu kecil dan daun kering.
Selepas dikeringkan, barulah proses pembuatan lemang dilakukan.
Bagaimanapun, dia bersedia bekerjasama dengan pihak kementerian dan pakar terlibat jika ada usaha untuk melakukan kajian lanjut mengenai kebimbangan kepupusan periuk kera.
Malah, ketika ini, dia sedang mencari kawasan sesuai untuk menanam pokok periuk kera dan sekali gus mengkomersialkan tanaman itu pada masa akan datang.
"Saya sedang mencari kawasan sesuai untuk pembiakan periuk kera. Namun, kalau nak komersialkan, masih belum cukup untuk menampung permintaan," katanya lagi.