Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menziarahi makam anakandanya, Almarhum Tunku Laksamana Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim di Makam Diraja Mahmoodiah.
Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin memimpin tahlil dalam majlis ringkas yang berlangsung selama 30 minit itu.
Turut kelihatan pada majlis yang bermula pukul 9 pagi itu adalah Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad.
BACA: Kemangkatan Tunku Abdul Jalil: Johor berkabung
Pada majlis itu, baginda turut menyiramkan air mawar di atas pusara Tunku Abdul Jalil sebelum meninggalkan makam itu pada 9.30 pagi.
Semalam, berlangsungnya Istiadat Pemakaman Separa DiRaja Kerajaan Johor setelah kemangkatan Tunku Abdul Jalil pada lewat petang Jumaat.
Anakanda keempat Sultan Johor itu mangkat pada jam 7.11 malam Sabtu di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.
Tunku Abdul Jalil mangkat pada usia 25 tahun selepas menderita akibat kanser hati selama beberapa tahun.
Sementara itu, di media sosial, orang ramai terus mengingati almarhum dengan tidak putus-putus menyebut tentang kebaikannya yang selama ini menyentuh hati segenap lapisan masyarakat tanpa mengenal usia, darjat dan latar kaum.
BACA: 10 fakta berkenaan putera kesayangan Johor, Almarhum Tunku Jalil